Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyokong dakwaan Najib Razak berhubung dakwaan kewujudan titah adendum (tambahan) agar dia menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Ahmad Zahid yang juga presiden Umno menyokong dakwaan itu menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.
Dia mendakwa dalam pertemuan di rumahnya pada 30 Januari lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan kepadanya berhubung kewujudan titah adendum tersebut yang bertarikh 29 Januari 2024.
"Saya sesungguhnya percaya bahawa untuk tempoh masa yang mencukupi saya melihat dan membaca titah adendum, dan saya melihat dengan jelas semua kandungannya dan bahawa ia merupakan sebahagian daripada proses pengampunan pemohon (Najib) yang merupakan tambahan kepada titah utama, kedua-duanya betarikh 29 Januari 2024.
"Justeru, saya dengan ini mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Saya juga percaya selain saya dan Tengku Zafrul, anggota kerajaan yang lain telah melihat titah adendum tersebut. Secara khusus, saya sedar bahawa Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail juga telah melihat salinan titah adendum dan boleh mengesahkan perkara yang sama," menurut Ahmad Zahid.
Dakwa Zahid lagi, sementara dia tidak memiliki salinan titah tersebut atas faktor kerahsiaan memandangkan ia belum dilaksanakan, dia mengesahkan dokumen itu ada pada responden yang dinamakan.
Permohonan semakan kehakiman Najib menamakan tujuh responden, iaitu menteri dalam negeri (tidak dinamakan), komisioner general penjara, peguam negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, menteri di jabatan perdana menteri (undang-undang dan reformasi institusi) yang tidak dinamakan, ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dan kerajaan persekutuan.
"Saya selanjutnya dengan sesungguhnya dimaklumkan bahawa peguam negara mempunyai satu salinan asal atau hanya salinan titah adendum untuk pertimbangan undang-undangnya," dakwa Zahid lagi.
Pada 4 April lalu, Shafee memamklumkan seorang "saksi penting" dijangka memfailkan afidavit bagi menyokong semakan kehakiman Najib untuk menghabiskan baki tempoh hukuman penjara enam tahun dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta dengan tahanan di rumah.
Dia memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi pelaksanaan apa yang didakwa sebagai titah adendum (tambahan) Yang di-Pertuan Agong yang dikaitkan dengan keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta terhadapnya.
Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 1 April lalu, ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang dalam kes rasuah SRC International.
Menurut afidavit sokongan yang dibuatnya, Najib mendakwa titah adendum (tambahan) dalam pengampunan diraja membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.
Justeru, dia memohon mahkamah mengarahkan menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan dan beberapa lagi responden untuk mengesahkan titah tersebut.
Dia turut memohon perintah mahkamah agar responden bukan sahaja mengesahkan perkara itu, tetapi "dengan serta-merta mengeluarkan pemohon daripada penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, di mana pemohon akan meneruskan hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah".
Dia turut memohon perintah mandamus agar responden memberikan versi asal adendum diraja tersebut, kos dan apa-apa relif yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.
Dalam afidavit sokongannya pula, Najib mendakwa haknya terjejas dan dilanggar oleh responden dengan mengabaikan pertanyaannya berkenaan dakwaan bahagian tambahan tersebut.
Dakwanya, tindakan responden mengabaikan permintaannya merupakan pelanggaran terhadap hak asasinya di bawah Perlembagaan Persekutuan, selain bersamaan dengan penghinaan kepada Agong.
Dia turut mendakwa responden cuba menyembunyikan kewujudan bahagian tambahan itu.
'Tiada dalam senarai'
Pada 4 Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan Najib tiada dalam senarai banduan yang akan menjalani hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.
Dia memberitahu Malaysiakini bahawa program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) hanya menyenaraikan tahanan yang menjalani hukuman penjara kurang dari empat tahun, warga emas, wanita hamil dan orang kurang upaya (OKU).
"Najib tak masuk senarai itu," katanya.
Pada bulan itu juga, Harian Metro melaporkan KDN bersetuju secara prinsip untuk inisiatif tersebut bertujuan mengurangkan kesesakan di penjara, bukan untuk disalahgunakan oleh pemimpin yang disabitkan kesalahan.
Saifuddin juga menolak dakwaan dasar tahanan rumah bertujuan untuk membolehkan Najib menjalani baki tempoh hukuman penjara dengan selesa, menyifatkannya sebagai berniat jahat.