Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kapal China di perairan S'wak: Jangan berulang Batu Puteh - Khaled

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin menegaskan pentingnya kehadiran berterusan pasukan keselamatan mengawal perairan Malaysia untuk mengelakkan berlaku satu lagi insiden "Pulau Batu Puteh".

Khaled menjawab dakwaan penampakan kapal Pengawal Pantai China di perairan Sarawak oleh sekumpulan nelayan tempatan pada minggu lepas.

Untuk rekod, China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan yang dinamakan sembilan garisan putus, termasuk kawasan perairan Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara.

Khaled berkata menjadi perkara biasa bagi kapal-kapal asing melalui perairan Malaysia dan menegaskan mengapa kehadiran berterusan pihak berkuasa amat penting untuk menjaga kedaulatan negara.

"Kita tidak nafikan bahawa kapal-kapal dari negara asing memang selalu kerana mereka juga nak tunjukkan mereka tuntut kawasan itu, seperti juga kita.

"Kita perlu berada di sana sepanjang masa sebab kita juga nak beritahu itu kawasan kita," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Pulau Batu Puteh sebuah pulau kecil antara Johor dan Singapura yang menjadi subjek pertikaian lama.

Pada masa ini, pulau itu diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai wilayah Singapura selepas kerajaan pada 2018 membatalkan rayuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang tidak memihak kepada Malaysia.

Minggu lalu, New Straits Times melaporkan pihak berkuasa Malaysia telah melancarkan operasi maritim khas di luar pantai Sarawak selepas mengesan kehadiran kapal Pengawal Pantai China di kawasan itu.

Khaled berkata kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia KM 'Marlin' telah dikerahkan dari 1 hingga 10 April di bawah Operasi Raja Laut untuk memantau pergerakan kapal China yang dikenali sebagai 'CCG 5103'.

Menurut menteri itu, kapal Pengawal Pantai China telah beroperasi di perairan tersebut selama 11 hari sejak 30 Mac.

Operasi khas itu bertujuan untuk memantau dengan teliti aktiviti kapal asing itu di wilayah maritim Malaysia.

Khaled menjelaskan hari ini bahawa walaupun Laut China Selatan boleh dilalui dengan bebas, sebuah kapal asing dianggap menceroboh jika ia menjatuhkan sauh di perairan Malaysia.

Dalam situasi sebegitu, Khaled berkata tindakan seterusnya ialah memaklumkan Kementerian Luar.

Beberapa negara mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan, yang merupakan sumber ketegangan geopolitik yang berpanjangan di rantau ini.

Pada masa lalu, kapal pengawal pantai China sering dikesan berada berdekatan Beting Patinggi Ali, Sarawak - kawasan yang terlibat dalam pertikaian tuntutan oleh negara itu dan Malaysia.

Beting Patinggi Ali terletak kira-kira 84 batu nautika (155km) daripada pantai Miri dan lebih 2,000km dari tanah besar China.

Sembilan garisan putus Laut China Selatan, wilayah yang dituntut China.

Kementerian Luar Wisma Putra beberapa kali mengemukan bantahan mengenai pencerobohan perairan negara antaranya dengan memanggil duta besar China ke Malaysia.

Pada 2020, Laporan Ketua Audit Negara (KAN) Siri 3 mendedahkan kapal Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (PLA) direkod menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.

Ketua audit negara juga mengambil maklum kerajaan China tidak menghiraukan nota bantahan berhubung pencerobohan itu.

Laporan itu berpendapat isu pencerobohan China merupakan perkara serius terhadap kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM).

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS