Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar syukur Nadir dan keluarga bersatu semula

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kesyukurannya kerana CEO Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dapat bersatu semula dengan keluarganya yang berjaya dibawa keluar dari Gaza.

Anwar dalam hantarannya di Facebook berkata dia turut menyatakan penghargaannnya kepada Presiden Mesir Abdel Fattah Al Sisi dan kerajaan Mesir atas kerjasama yang diberikan dalam membawa keluarga Muhammad Nadir Al-Nuri keluar dari kawasan bergolak itu.

Terdahulu Muhammad Nadir Al-Nuri dalam catatannya berkata Anwar merupakan individu penting yang memainkan peranan utama dalam misi membawa keluar keluarganya dari Gaza saat wilayah Palestin itu diserang tentera Israel.

Perkara itu dikongsikan oleh Muhammad Nadir Al-Nuri dalam catatan ‘183 Hari Yang Panjang’ menerusi hantaran di akaun Facebook serta Instragramnya malam tadi.

Muhammad Nadir Al-Nuri berkata sehari sebelum Aidilfitri, dia dihubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri Farhan Fauzi, yang memintanya datang ke satu lokasi khas selain membenarkan CEO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby untuk turut sama ke lokasi itu.

“Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam filem.

“Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan,” kata Nadir.

Dia menyifatkan misi membawa keluarganya dari Gaza itu sebagai ‘misi gila’ kerana bukan mudah untuk membawa keluar keluarganya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus di Gaza, selain ketegangan di sempadan yang berlanjutan.

“Namun secara senyap pemimpin negara (Anwar) menghubungi pihak sana. Ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain,” katanya.

Nadir juga berkata proses misi berkenaan berjalan cepat, teratur dan lancar, walaupun dipenuhi dengan 1,001 cabaran tersirat.

“Kisahnya akan keluar satu demi satu, tetapi tak semua saya berhak untuk kongsikan. Tetapi watak utama dalam ‘misi gila’ ini ialah perdana menteri kita Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri,” katanya yang turut berharap agar rakyat Malaysia terus bersolidariti membela nasib rakyat Palestin.

“Untuk PMX (Anwar), PMO (Pejabat Perdana Menteri), (Dr) Ahmad Sani dan semua pihak yang menjayakan usaha ini sama ada secara langsung mahupun mendoakan, kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga.

“Semoga Allah sahaja membalas jasa kalian semua, amin,” luahnya mengakhiri catatannya.

Semalam, Nadir dilapor berkata bahawa situasi getir dihadapi anaknya yang mengalami komplikasi pernafasan dan terpaksa dikejarkan beberapa kali ke hospital di tengah malam, mendorongnya untuk mengambil keputusan membawa keluarganya keluar dari Gaza.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS