Beras putih tempatan sudah berada di pasaran tempatan namun bekalannya masih belum cukup untuk menampung permintaan, menurut pekerja beberapa pasar raya besar.
Tinjauan Malaysiakini di beberapa pasar raya sekitar Lembah Klang mendapati beras putih tempatan tidak diletakkan dalam kuantiti yang banyak ditempat yang disediakan.
Kakitangan pasar raya terbabit juga memaklumkan beras putih tempatan dijual kepada orang ramai dalam tempoh yang singkat.
Penyelia pasar raya Lotus’s Cheras, Sofian Ramli berkata, cawangan pasar raya itu menerima bekalan beras putih tempatan secara mingguan dengan purata sebanyak dua palet atau bersamaan 200 beg.
“Beras putih tempatan memang ada namun tidak dalam kuantiti yang banyak,” katanya.
Sofian berkata, Lotus’s menerima bekalan beras putih tempatan dalam kuantiti yang banyak beberapa hari sebelum perayaan Aidilfitri iaitu antara tujuh hingga lapan palet daripada setiap pembekal.
“Semua bekalan tersebut telah habis dijual dalam masa yang singkat sejurus selepas dipasarkan dalam cawangan kami,” katanya.
Sofian berkata bekalan dengan kuantiti tersebut hanya diperoleh sebelum Aidilfitri, memandangkan mereka kembali mendapat dua palet daripada satu syarikat pada hari ini.
“Bagaimanapun untuk mengetahui lebih lanjut tentang kuantiti bekalan secara konsisten, kita perlu tunggu beberapa minggu lagi,” jelasnya.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata stok fizikal beras negara mencecah lebih satu juta tan metrik termasuk 290 ribu tan metrik stok penimbal beras, di mana jumlah ini mampu menampung keperluan bagi tempoh lima bulan lebih.
Mohamad turut menegaskan pengedaran stok beras putih tempatan sedang giat dijalankan di samping pelaksanaan penurunan harga beras putih import di antara RM2 hingga RM3.
Sementara itu Pengurus Bahagian Makanan Mydin Seksyen 18, Shah Alam, Wade Iswadi berkata cawangannya mula menerima bekalan beras putih tempatan secara konsisten dengan purata 180 hingga 200 beg beras bagi pek 10 kilogram daripada setiap pembekal sejak Aidilfitri.
“Sebelum ini ketika bulan Ramadan cawangan kami langsung tidak menerima bekalan beras tempatan namun kini terdapat peningkatan.
“Bagaimanapun bilangan ini masih belum cukup untuk menampung keperluan masyarakat,” katanya.
Iswadi berkata cawangan Mydin itu memerlukan sekurang-kurangnya 300 beg beras putih tempatan untuk menampung keperluan pelanggannya.
Hasil tinjauan di beberapa pasar raya seperti di TF Value Mart, Taman Connaught dan Giant Hypermarket di Seksyen 7, Shah Alam mendapati cawangan mereka menerima bekalan beras putih tempatan sebanyak 200 beg secara purata.
Sementara itu, beras putih tempatan tidak dipasarkan di Checkers Hypermarket dan ST Rosyam Mart di sekitar Shah Alam.
Kakitangan ST Rosyam Mart berkata mereka langsung tidak menerima bekalan beras tersebut.