Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hassan hari ini menegur sikap segelintir pihak yang membawa fahaman politik sehingga melibatkan raja-raja Melayu.
Dalam hantaran secara umum di platform X, Zulkifli berkata tidak ada salahnya untuk seseorang mendorakan raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong kerana mereka dianggap sebagai ulil amri (pemerintah).
Bahkan kata senator itu amalan berdoa memang dianjurkan oleh Islam.
“Apalah salahnya kita mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu, iaitu para ulil amri.
“Bukankah doa itu senjata ampuh orang Mukmin?
"Rasulullah SAW sendiri mengajar kita untuk mendoakan saudara yang lain,” katanya yang turut menitipkan sepotong hadis berkaitan perkara itu.
Hantaran itu menyusul beberapa hari selepas tular satu akaun media sosial seseorang yang dikaitkan dengan PAS Selangor.
Pemilik akaun tersebut sebelum ini menguar-uarkan tindakannya enggan menadah tangan mengaminkan doa terhadap Sultan Johor dan Agong semasa dia menghadiri solat Jumaat di negeri berkenaan.
Menurut pemuda terbabit dia mengambil langkah berkenaan kononnya kerana menganggap doa hanya wajar diaminkan untuk seseorang pemimpin yang mengutamakan Islam.
Bagaimanapun sejurus selepas tular di media sosial, dia dipercayai memadamkan hantaran berkenaan sebelum memuat naik hantaran baru dengan meminta memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat.
Katanya hantaran berkenaan adalah pandangan peribadinya.
“Jujur saya agak speechless. Saya mohon maaf atas kekhilafan saya. Penulisan saya itu adalah pandangan peribadi saya sendiri.
“Sungguh, memang langsung tak ada niat menghina institusi beraja. Cuma sekadar pandangan daripada diri sendiri.
"Apa-apa pun, sekali lagi saya mohon maaf buat semua. Dan saya tidak menafikan doa untuk sesama muslim itu sangat baik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Mohd Sohaimi Ishak, pula dilaporkan mengesahkan pihak berkuasa menerima laporan berkenaan lelaki terbabit dan siasatan sudah dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Kata Zulkifli dalam Islam, seseorang yang mendoakan kebaikan untuk individu lain akan mendapat manfaat sama seperti apa yang dipohonkan kepada Allah.
"Ikhlaskan hati dan teruslah berdoa dan saling mendoakan," ciapnya.