Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Isu graduan Parallel Pathway boleh diselesai tanpa perlu pinda Akta 50'
Diterbitkan:  Apr 14, 2024 12:54 PM
Dikemaskini: 4:58 AM

Kumpulan Profesor Kesihatan dan Perubatan berkata isu berkaitan graduan program Parallel Pathway - program latihan pascasiswazah antarabangsa yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) - dapat diselesaikan tanpa meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50).

Ketua kumpulan perubatan itu, Dr Noor Hashim Ismail berkata pihaknya prihatin dengan graduan program latihan berkenaan, yang dianugerahkan kelayakan yang tidak boleh didaftarkan ke dalam Daftar Pakar Perubatan Malaysia.

Katanya, untuk membolehkan pendaftaran graduan program itu sebagai doktor pakar, undang-undang semasa membolehkan mereka diserap ke dalam program tempatan melalui proses pemindahan kredit atau pemetaan kurikulum.

“Oleh itu, selepas menjalani latihan, mereka akan dianugerahkan dengan kelayakan yang didaftarkan di bawah Kelayakan Pakar Malaysia (MQR) dan layak didaftarkan sebagai pakar dalam Daftar Pakar Majlis Perubatan Malaysia.

“Bagi pelatih yang masih dalam sistem pengajian, mereka boleh dipindahkan ke program universiti tempatan melalui proses yang sama.

“Adalah jelas bahawa dilema yang dihadapi oleh graduan Parallel Pathway ini dapat diselesaikan tanpa perlu meminda Akta 50,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu merujuk Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang sebelum ini berkata cadangan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bertujuan menangani jurang antara program Parallel Pathway dan Program Sarjana Perubatan tempatan.

Menurut Dr Dzulkefly, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengangkat cadangan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan Akta 50 selewat-lewatnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15, pada Jun ini bagi memastikan graduan program Parallel Pathway akan didaftarkan dan diiktiraf.

Tiada kawal selia

Mengulas lanjut, Noor Hassim berkata pihaknya faham tentang keperluan negara terhadap doktor pakar.

Namun, katanya, program Parallel Pathway pada masa ini tidak melalui proses seperti yang perlu dilalui program latihan pakar perubatan tempatan.

Jelasnya, pada masa ini, terdapat sembilan buah universiti tempatan yang menawarkan 106 program latihan Doktor Pakar Perubatan yang terjamin kualiti di Malaysia yang melalui proses yang teliti.

Proses itu, kata Noor Hassim termasuklah penelitian dan kelulusan institusi dalaman (universiti) dan keperluan mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Dalam kes institusi pengajian tinggi swasta, jelasnya, ia juga mesti dilesenkan. Selain itu, katanya, ia juga perlu diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia atau Malaysia Qualification Agency (MQA).

Program khusus pascasiswazah tempatan sedia ada juga perlu diakreditasi secara berkala setiap tiga hingga lima tahun, tambahnya.

“Program latihan pascasiswazah antarabangsa yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan di bawah istilah Parallel Pathway pada masa ini tidak memerlukan proses yang disebutkan di atas.

“Program-program antarabangsa ini juga tidak dipantau atau diselia oleh badan-badan kawal selia negara asal mereka.

“Adalah jelas bahawa program-program ini di bawah Parallel Pathway tidak tertakluk kepada kelulusan atau pemantauan oleh mana-mana badan kawal selia di Malaysia,” katanya.

Tidak patuh proses sewajarnya

Noor Hashim turut mendakwa penganjur Parallel Pathway tidak berusaha mematuhi Akta Perubatan (Pindaan) 2012 yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2017, yang memerlukan Majlis Perubatan Malaysia atau Malaysian Medical Council (MMC) mendaftarkan Pakar Perubatan (Specialist).

“Selepas 1 Julai 2017, dalam menjalankan tugas pendaftaran pakar, MMC mesti berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Ini bermakna semua kelayakan pakar, tempatan dan antarabangsa mesti diiktiraf mengikut proses yang sewajarnya seperti yang ditetapkan oleh Akta tersebut.

“Pelajar pascasiswazah ini telah menyertai program Parallel Pathway tanpa mematuhi proses yang sewajarnya ketika itu.

“Tidak ada percubaan oleh penganjur Parallel Pathway untuk mematuhi undang-undang apabila Akta Perubatan (Pindaan) 2012 berkuat kuasa pada 1 Julai 2017,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS