Pasar raya Aeon Big menjelaskan produk yang memaparkan imej Kaabah yang didakwa sebagai alas kaki sebenarnya adalah sejadah mini.
Bagaimanapun, Aeon Big mengakui label pada produk tersebut telah mencetuskan kekeliruan namun ia telah diperbetulkan dengan menggunakan label "sejadah" pada produk tersebut.
Aeon Big berkata produk itu dibekalkan oleh A&R Fashion Collection (A&R) yang merupakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) milik bumiputera yang mengeluarkan pakaian muslimah seperti tudung dan telekung sembahyang serta sejadah, permaidani dan tikar.
"A&R telah mengesahkan produk berkenaan sememangnya merupakah sejadah mini, di mana coraknya adalah dalam format menegak yang merupakan amalan biasa.
"Bagaimanapun, selaras dengan amalan terbaik Aeon Big untuk pembekal PKS, A&R telah menggunakan kod barangan dalam sistem yang sebelum ini digunakan untuk produk-produk lain mereka.
"Akibatnya, label yang digantung pada produk menunjukkan pelbagai deskripsi lantas terus menyebabkan kekeliruan. Perkara ini telah diperbetulkan serta-merta dalam sistem pengurusan barangan AEON BiG dan deskripsi barangan tersebut sebagai 'sejadah' digunakan," kata pasar raya itu dalam kenyataan, hari ini.
Pada 9 April lalu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) merampas 11 produk yang dikatakan sebagai alas kaki di cawangan Aeon Big di Batu Pahat.
Menurut Berita Harian, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata rampasan dibuat susulan aduan awam berkenaan dakwaan tersebut.
Berkenaan rampasan itu, Aeon Big berkata pihaknya telah memberi kenyataan dan kerjasama penuh kepada Jainj dan berharap semua pihak berhenti membuat "spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat".
"Kedua-dua pihak pengurusan Aeon Big dan A&R berharap kenyataan ini akan menjelaskan sebarang keraguan mengenai isu ini.
"Aeon Big dan A&R akan terus bekerjasama dengan Jainj dan mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut yang diperlukan," katanya lagi.