Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu tandak air: MP minta Orang Asli mohon peruntukan ikut saluran

Ahli Parlimen Labis Pang Hok Liong menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk meluluskan peruntukan kepada perkampungan Orang Asli di Segamat, Johor, untuk tujuan membeli bahan pembaikan paip jika permohonan dibuat melalui saluran yang betul.

Pang memberitahu Malaysiakini bahawa permohonan itu mesti dikemukakan oleh majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK) Kampung Orang Asli Selai dan bukan daripada Tok Batin (ketua kampung) Achai @ Juti Kais.

Memetik garis panduan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, wakil rakyat DAP itu menjelaskan ahli parlimen hanya boleh meluluskan dan mengeluarkan peruntukan kepada mereka yang memohon melalui MPKK.

“Pada 11 April tahun lalu, pejabat saya menerima surat permohonan daripada Achai bertarikh 23 Mac 2023. Itu selepas banjir pada Mac tahun sama.

“Keesokan harinya, kakitangan saya menghubungi mereka (penduduk Orang Asli) dan memberitahu mereka untuk menyerahkan surat melalui majlis pengurusan komuniti kampung mereka.

“Ia adalah di luar kuasa saya untuk meluluskan permohonan yang dikemukakan oleh individu kerana, pada akhirnya, kita tidak tahu sama ada mereka akan menggunakan wang itu untuk melakukan sebarang projek atau tidak.

“Jadi, selagi mereka mengemukakan melalui majlis pengurusan komuniti kampung, saya akan luluskan, tiada isu,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Ini selepas Malaysiakini melaporkan Orang Asli di kampung itu terpaksa menggunakan kayu dan batu untuk membaiki paip air dan kolam takungan air untuk mendapatkan bekalan air selepas banjir melanda kampung itu lebih setahun lalu.

Achai berkata penduduk telah merayu bantuan kepada Pang, Adun Bekok Tan Ching dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah itu namun tiada tindakan diambil untuk menangani masalah mereka.

"Saya menulis surat kepada mereka untuk minta peruntukan RM25,415 untuk kami beli paip baru dan simen tetapi Tan dan Jakoa berkata bahawa kos itu terlalu tinggi.

"Pang pula minta kami buat permohonan di atas nama pengerusi MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) tapi kampung ni tak ada majlis sebegitu.

“Jadi tak ada tindakan yang diambil sehingga sekarang. Saya sangat kecewa dengan Pang dan Tan,” kata Achai.

MPKK 'tak aktif'

Menurut Pang, terdapat sebuah majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK) di Kampung Orang Asli Selai.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Achai - yang juga pengerusi Jawatankuasa Bertindak Orang Asli Johor - mengesahkan memang ada majlis seperti itu di kampung itu tetapi ia sudah "tidak aktif".

"Ada (MPKK) tapi tak aktif. Memang tak ada (MPKK), sememangnya tak ada sebab tak aktif.

"Mana mesyuarat tiap, contoh, tiga bulan atau enam bulan sekali. Benda tu dah tak aktif,” kata Achai said.

Sementara itu, Jakoa Johor pada satu kenyataan semalam menafikan dakwaan bahawa penduduk kampung telah diabaikan dengan menegaskan kampung itu menerima bekalan air daripada telaga tiub yang dibangunkan jabatan itu.

Jakoa berkata pihaknya juga sedang menaik taraf sistem bekalan elektrik di loji rawatan air di kampung itu.

Menurut Jakoa, kontraktor penyelenggaraan telah melantik Achai untuk menyelia sistem itu setiap hari, dengan bayaran RM400 sebulan bagi memastikan sistem rawatan air beroperasi dengan berkesan.

Cuma sekali dapat bayaran

Penduduk terbabit juga, kata Jakoa menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,000 daripada kontraktor penyelenggaraan sistem rawatan air bagi membaik pulih sistem tandak itu.

Bagaimanapun, Achai menafikan dia menerima bayaran bulanan RM400 daripada kontraktor penyelenggaraan.

"Saya terima RM400 pada bulan Mac, 2023. Kontraktor yang bagi sekali saja RM400. Tapi RM400 tu dia cakap upah pasangkan paip yang dua gulung dari tangki ke pam air. Bukan sebagai elaun.

"Kalau Jakoa tak puas hati, baik Jakoa turun padang kat Kampung Selai dan jumpa saya dan penduduk kampung. Itu lagi senang. Turun padang tengok sendiri,” kata Achai kepada Malaysiakini.

Difahamkan Jakoa Johor akan menyiasat dakwaan bayaran berjumlah RM400 sebulan yang diberikan oleh kontraktor berkenaan kepada Achai.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS