Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kerja polis, Anwar redakan ketegangan, bukan tunggu Agong'

Ahli politik Sarawak memuji tindakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berkenaan meluangkan masa untuk menerima mengadap pemimpin Umno dan DAP bagi meredakan ketegangan kaum dan agama yang semakin memuncak berhubung isu stoking yang tertera kalimah Allah baru-baru ini.

Bagi bekas pemimpin PKR, Baru Bian, dia gembira apabila mendapat tahu bahawa Yang di-Pertuan Agong sendiri telah berkenan menerima mengadap dan menasihatkan pemimpin Umno dan DAP supaya membantu meredakan keadaan gelisah di negara ini apabila tiga kedai serbaneka KK Mart, diserang bom petrol.

Baru Bian

“Seri Paduka terpaksa campur tangan untuk meredakan ketegangan akibat ketidakupayaan kerajaan dan/atau polis. 

“Tanggungjawab meredakan ketegangan dalam negara dan mengelakkan keadaan daripada terus meruncing adalah tanggungjawab polis dan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” kata Adun Ba’kelalan yang kini mewakili Parti Demokratik Progresif.

“Saya harap perdana menteri kita akan lebih ke hadapan  untuk menyelesaikan perkara seumpama ini kerana kita tidak mampu menyaksikan Seri Paduka campur tangan setiap kali masalah seperti itu timbul di negara ini.

“Perdana Menteri mesti bertindak segera sebelum keadaan bertambah runcing,” tambah Baru.

Bagi Presiden Parti Bumi Kenyalang Voon Lee Shan, Yang di-Pertuan Agong berbesar hati mencemar duli menerima mengadap pemimpin Umno dan DAP untuk meredakan ketegangan yang semakin memuncak  berhubung insiden stokin itu.

Voon Lee Shan

Katanya, titah baginda supaya semua pemimpin politik supaya mengelak pandangan melampau dalam hal  agama dan isu perkauman perlu dihormati.

“Mengingkari titah Baginda bukan sahaja satu penghinaan  tetapi juga adalah penderhakaan.

“Penduduk Sarawak dan Sabah, tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan sentiasa hidup dalam harmoni tetapi berasa kurang senang setiap kali isu agama dan perkauman dipergunakan oleh ahli  politik dan pendakwah agama di Malaysia Barat,” katanya.

Voon berkata, meniupkan sentimen agama dan perkauman melampau membuktikan mereka yang berbuat demikian tidak berniat baik.

Menurutnya, penduduk Sarawak dan Sabah yang sebahagian besar mereka beragama Kristian marah dan tersinggung dengan penggunaan naratif perkauman dan agama untuk menimbulkan ketegangan yang tidak diperlukan.

Gambar Hiasan - KK Mart

Tambahnya, adalah membimbangkan bahawa naratif sedemikian menjadi kelaziman, sehinggakan ada penduduk di negeri-negeri Borneo itu menggesa kemerdekaan daripada persekutuan Malaysia. Justeru, katanya, kerajaan mesti bertindak segera pada masa hadapan untuk mengurangkan keadaan seperti itu.

Bagi Adun Kota Sentosa, Wilfred Yap, titah nasihat Yang di-Pertuan Agong kepada  pemimpin Umno dan DAP supaya memberi tumpuan untuk mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukannya perpecahan mesti dipandang berat oleh kedua-dua parti itu.

“Ini mungkin disebabkan ahli politik daripada (kedua-dua) parti ini tergesa-gesa mengeksploitasi situasi untuk kepentingan peribadi. Daripada tumpuan mencari penyelesaian, mereka berusaha untuk meneruskan agenda mereka.

Wilfred Yap (berbaju kuning)

“Sebagai masyarakat berbilang kaum, kita mesti berwaspada dan mengecam cubaan parti politik sedemikian,” katanya.

Menurut Yap, pemimpin mesti menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat yang berbilang kaum di negara ini dan sentiasa mempamerkan tingkah laku yang matang dan tidak mendasarkan politik mereka berdasarkan emosi.

“Melalui usaha kolektif dan komitmen terhadap perubahan positif, kita boleh mengatasi perpecahan dan membina masyarakat yang lebih kukuh dan harmoni untuk semua orang. 

“Negara yang stabil dari segi politik adalah penting untuk kemajuan dan pembangunannya,” tambah Yap.

Sementara itu, pembantu khas kepada Pengerusi DAP Sarawak, Michael Kong juga bersependapat.

Michael Kong

Katanya titah Sultan Ibrahim yang ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni mesti disambut baik.

“Saya menyahut seruan Seri Paduka agar semua parti mengutamakan perpaduan daripada perpecahan. Kita mesti memupuk keharmonian di kalangan rakyat. 

“Saya secara konsisten menentang retorik melampau mengenai agama dan perkauman, dan menggesa ahli politik untuk menggalakkan persefahaman serta rasa hormat,” katanya.

Kong berkata dia juga menghargai keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk menerima mengadap Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh di Istana Negara, semalam.

“Tindakan Akmal baru-baru ini, khususnya mengenai insiden stoking Allah dan memboikot KK Mart, sedikit sebanyak menyebabkan ketegangan kaum.

Dr Akmal Salleh

“Dengan titah Agong semalam ini, saya menggesa Akmal dan semua pemimpin politik untuk menghentikan ketegangan ini. Sebaliknya, marilah kita mengalihkan usaha kita ke arah menyatukan rakyat Malaysia dan memajukan pembangunan ekonomi dan kemakmuran negara kita,” tambah Kong.

Sultan Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook, semalam memaklumkan baginda berkenan menerima mengadap  Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan; Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh; Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong.

Seri Paduka sekadar memaklumkan sesi itu bertumpu kepada perkembangan semasa berkaitan isu-isu sensitiviti agama dan kaum.

Namun adalah dipercayai sesi itu adalah untuk menyelesaikan kekusutan berhubung kedai serbaneka KK Mart yang mengundang kontroversi selepas stoking yang tertera kalimah Allah ditemui di tiga cawangannya, bulan lalu.

Isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah itu menyaksikan Akmal menjadi watak utama yang mengajak orang ramai memboikot syarikat KK Mart.

Langkah itu diambilnya di sebalik permohonan maaf syarikat berkenaan, selain titah Yang di-Pertuan Agong agar isu berkenaan diredakan. Malah pada Mac lalu, pengasas dan pengarah syarikat tersebut telahpun diheret ke mahkamah.

Gesaan dan kempen boikot tersebut juga menyaksikan sekurang-kurangnya tiga serangan bom petrol dilakukan di tiga premis berasingan KK Mart, masing-masing di Perak, Pahang dan Sarawak.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS