Tugasan dan fungsi Sekretariat Pejabat Presiden PKR menumpukan terhadap gerak kerja peringkat akar umbi parti, kata salah seorang anggotanya Sim Tze Tzin.
Menurutnya, lima anggota sekretariat yang dilantik akan memainkan peranan untuk membantu cabang yang kurang aktif dan menjadi pemudah cara bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi di peringkat tersebut.
"Kami ditugaskan untuk menumpukan kepada aktiviti dan gerak kerja pada kawasan-kawasan tumpuan supaya lebih giat dan teratur.
"Parti kita (PKR) merupakan parti memerintah. Justeru, kita perlu memperkasakan parti di semua peringkat, itulah harapan presiden," kata Sim (gambar bawah) yang juga timbalan pengarah strategi PKR kepada Malaysiakini.
Selain menjadi perantara di antara presiden dengan cabang dan ranting, katanya sekretariat itu juga berfungsi untuk menggerakkan dasar dan polisi yang dilaksanakan kerajaan perpaduan.
"Kami juga ditugaskan untuk melihat (jika ada) sebarang isu (berkaitan perlembagaan parti) yang perlu disemak semula kerana setiap parti ada kelebihan dan kelemahan.
"Antara tugas dan fungsinya adalah untuk mendengar (masalah), menarik kemasukan lebih banyak ahli serta memperkemaskan dan memperkasakan cabang dan ranting.
"Ada cabang yang kurang bergerak, jadi kami akan membantu untuk mencari permasalahan dan penyelesaian di kawasan yang bermasalah dan kita rancang untuk membawa lebih banyak program seperti program rahmah, e-kasih ke kawasan tersebut.
“Jadi, pelantikan ini menunjukkan presiden mengambil berat tentang peringkat akar umbi," katanya yang juga ahli parlimen Bayan Baru.
Isnin lalu, PKR melantik lima pemimpin parti sebagai anggota Sekretariat Pejabat Presiden yang baru ditubuhkan.
Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam kenyataan di Facebook rasmi parti itu memaklumkan Sekretariat Pejabat Presiden dianggotai oleh Romli Ishak sebagai setiausaha politik kanan pejabat presiden dan juga koordinator sekretariat.
Sementara itu, Sim bersama Onn Abu Bakar, Manivanan Gowin dan bekas Adun Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli dilantik sebagai setiausaha politik Sekretariat Pejabat Presiden PKR.
“Sekretariat Pejabat Presiden diamanahkan untuk memartabatkan dan memperkasakan PKR, membantu dan menyelaras pergerakan di semua peringkat parti itu serta memantau aktiviti dan gerak kerja di semua peringkat.
“Sekretariat Pejabat Presiden juga diamanahkan untuk menyemak perlembagaan parti untuk mengisbatkan (mengesahkan) hala tuju dan masa depan PKR serta memberi pandangan dan cadangan dalam isu-isu semasa yang berbangkit dalam politik negara,” kata Sim memaklumkan Anwar telah mempengerusikan mesyuarat penubuhan sekretariat itu.
Pasukan khas presiden
Sementara itu, Juwairiya berkata kewujudan sekretariat ini tidak bercanggah atau bertindih dengan mana-mana jawatan baik pada peringkat parti mahu pun jawatan dalam kerajaan.
"Tiada pertindihan (kuasa) dengan cabang atau ranting (PKR) kerana ini merupakan pasukan khas di bawah presiden.
"Sekretariat ini akan memperkasakan lagi parti dengan membantu pasukan (Pejabat Sekretariat) Presiden dalam tugas-tugas kepartian," katanya lagi.
Jelas Sim pula, persoalan pertindihan kuasa dengan jawatan sedia ada tidak menjadi isu kerana peranan dimainkan mereka bukan untuk mengawal atau membuat keputusan bagi pihak cabang atau ranting (PKR).
"Kami hanya bertindak sebagai pembantu sahaja," katanya.