Anggota parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul mempertahankan kritikannya terhadap DAP yang melukakan perasaan sahabatnya Hannah Yeoh daripada parti itu.
Menulis di Facebook, hampir 24 jam selepas keluhan Yeoh, Syed Saddiq menegaskan kenyataan dan pendiriannya itu bukan bersifat peribadi.
“Ke hadapan sahabatku Hannah Yeoh, perkara ini bukan tentang saya, bukan tentang persahabatan kita.
“Ia tentang masa depan Malaysia,” kata pengasas dan bekas presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu.
Baca: Yeoh luka dengan kata-kata Syed Saddiq
Yeoh dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lepas mengakui kritikan pedas daripada bekas sekutu seperti Syed Saddiq "amat menyakitkan".
"Saya rapat dengan Syed Saddiq dan faham anak muda ini percaya dengan Malaysia sebagai negara pelbagai kaum. Anda perlu berikan kredit kepadanya untuk itu.
"Saya tak tahu apa yang perlu dikatakan sebab saya tidak ulas perkara ini secara terbuka, tetapi ya, pastinya ada rasa terluka,” katanya.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata demikian apabila ditanya perasaannya apabila bekas Mahathir Mohamad mempersoalkan kesetiaan orang bukan Melayu serta tindakan Syed Saddiq menggelar DAP lapdog kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Lapdog dalam bahasa Inggeris bermaksud anjing manja yang dibela.
Bagaimanapun ia juga mempunyai maksud seseorang yang berada bawah pengaruh orang lain.
Sementara itu, Saddiq hari ini menegaskan dia menghormati pandangan Yeoh.
Tetapi, dalam masa yang sama, kata Saddiq berkata dia risaukan masa depan Malaysia apabila “rasuah dinormalisasikan oleh elit politik”.
Memberi contoh skandal LCS yang merugikan berbilion dolar duit pembayar cukai, Syed Saddiq berkata selepas pilihan raya, orang yang memperjuangkan perkara itu kini sudah senyap.
Begitu juga, katanya, dalam pengguguran kes jenayah terhadap “kawan baru” serta balas dendam terhadap “lawan baru”.
“Wujud situasi membingungkan apabila orang yang mencuri satu tin Milo dipenjara, tetapi yang mencuri berbilion dolar dinormalisasi oleh ‘pejuang rasuah’ sebelum ini.
“Tiada prinsip, tiada batasan, tiada rasa malu,” katanya yang kemudian membangkitkan tentang amalan politik Machiavellian.
[Baca tulisan penuh Syed Saddiq]
Berikut terjemahannya:
Warkah buat rakan saya Hannah Yeoh.
Ini bukan tentang saya, mahupun persahabatan kami; ini adalah mengenai tentang masa depan Malaysia.
Saya menghormati saudari dan pemikiran saudari. Namun, izinkan saya berkongsi saya.
Saya bimbang tentang masa depan Malaysia.
Masa depan di mana rasuah dinormalisasi oleh elit politik.
Berbilion dolar wang pembayar cukai hilang dalam skandal rasuah LCS, sepenuhnya dilenyapkan selepas pilihan raya oleh mereka yang sama yang menentangnya sebelum ini.
Pengguguran secara tidak wajar tuduhan jenayah yang tidak terkira banyaknya terhadap rakan baru dan dendam politik terhadap mereka yang menjadi musuh baru.
Senario yang membingungkan apabila seseorang yang mencuri setin Milo menerima hukuman penjara, sedangkan mereka yang mencuri berbilion-bilion ringgit dianggap normal oleh "pejuang rasuah" suatu ketika dahulu.
Tiada prinsip, tiada garis merah, tiada rasa malu.
Hanya politik Machiavellian tulen iaitu kuasa mengatasi segala-galanya.
Saya bimbang mengenai masa depan Malaysia.
Masa depan dengan ketegangan kaum dan agama memuncak ke perkadaran epik.
Jika hari ini, isu mengenai stokin dan kasut boleh membakar jalinan perpaduan Malaysia dan dalangnya boleh terlepas begitu sahaja tanpa sebarang hukuman, esok masa depan anak-anak kita akan terbakar buat selama-lamanya.
Jika hari ini, pejuang meritokrasi suatu ketika dahulu berdiam diri dan bertolak ansur dengan mediocrity saja, esok mereka akan menyaksikan kematian perpaduan Malaysia, tenggelam dalam lautan kepura-puraan.
Ringkasnya, “dulu kata lain, kini buat lain”.
“Hari ini kawan, esok lawan, janji kuasa ditawan.”
Saya bimbang mengenai masa depan Malaysia. Saya harap awak juga begitu, rakanku.
Syed Saddiq