Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima mengadap pimpinan kanan parti Umno dan DAP di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Dalam satu hantaran di Facebook Sultan Ibrahim, ia menyebut sesi mengadap itu bertumpu kepada perkembangan semasa berkaitan isu-isu sensitiviti agama dan kaum.
Mereka yang hadir adalah Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan; Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh; Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong.
“Saya ingin menasihati semua pihak untuk memberi tumpuan untuk mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukannya perpecahan.
“Saya ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni,” titah Sultan Ibrahim.
Seri Paduka juga mengingatkan pemimpin politik supaya tidak melampau dalam memberikan pandangan mereka tentang isu-isu agama dan perkauman.
“Bukan hanya Umno dan DAP, tetapi juga semua parti. “Pemimpin mesti menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat majmuk negara kita dengan contoh perilaku yang matang," titah baginda.
Adalah dipercayai sesi mengadap itu adalah untuk menyelesaikan kekusutan berhubung kedai serbaneka KK Mart yang mengundang kontroversi selepas stoking yang tertera kalimah Allah ditemui di tiga cawangannya, bulan lalu.
Isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah itu menyaksikan Akmal menjadi watak utama yang mengajak orang ramai memboikot syarikat KK Mart.
Langkah itu diambilnya di sebalik permohonan maaf syarikat berkenaan, selain titah Yang di-Pertuan Agong agar isu berkenaan diredakan. Malah pada Mac lalu, pengasas dan pengarah syarikat tersebut telahpun diheret ke mahkamah.
Gesaan dan kempen boikot tersebut juga menyaksikan sekurang-kurangnya tiga serangan bom petrol dilakukan di tiga premis berasingan KK Mart, masing-masing di Perak, Pahang dan Sarawak.
Mengulas lanjut, Sultan Ibrahim betitah, kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa semua lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara.
Titah baginda, perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia.
“Menjelang Hari Raya yang mulia ini, bermaaf-maafanlah antara satu sama lain dan buka lembaran baharu,” titah Seri Paduka lagi.
Sementara itu, Akmal dalam satu hantaran berasingan di Facebook berkata, dia menjunjung titah nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga keharmonian negara.
“Saya menjunjung titah di atas nasihat KDYMM Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga keharmonian negara dan memelihara kesucian agama Islam agar polemik yang berlaku dapat diredakan.
“Didoakan semoga KDYMM Yang di-Pertuan Agong dikurniakan kekuatan dan kesihatan serta terus kekal bersemayam di singgahsana dan dapat memerintah negara dengan penuh kedaulatan dan kebesaran,” katanya.