Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MOF lapor bayar RM786 juta, MB dakwa pusat hutang RM600 juta
Diterbitkan:  Apr 8, 2024 8:48 PM
Dikemaskini: Apr 9, 2024 2:02 AM

Kerajaan persekutuan telah menyalurkan hampir RM1 bilion wang ihsan kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu tahun lepas, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam kenyataan, kementerian itu berkata jumlah tersebut meliputi RM786 juta untuk Terengganu dan RM200 juta untuk Kelantan bagi hasil petroleum di luar pantai kedua-dua negeri itu.

Selain itu, kementerian itu berkata kerajaan persekutuan juga membayar wang ehsan berjumlah RM172.3 juta kepada kerajaan negeri Terengganu dan RM58.6 juta kepada kerajaan Kelantan bagi membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri, di samping bayaran RM103.1 juta untuk obligasi kerajaan Terengganu kepada kontraktornya.

"Sebarang baki wang ihsan akan tetap digunakan untuk negeri Terengganu dan Kelantan melalui projek atau program cakna rakyat seperti program basmi kemiskinan dan projek infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat di negeri tersebut,” kata kementerian itu.

Kenyataan itu dibuat selepas beberapa wakil rakyat di Terengganu mendakwa belum menerima bayaran royalti minyak.

Bulan lalu, Sinar Harian memetik Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai berkata kerajaan persekutuan berhutang RM600 juta “royalti minyak”, menyebabkan beberapa projek pembangunan di negeri itu tergendala.

Lidah rasmi PAS Harakah hari ini memetik kenyataan Adun Bandar, Ahmad Shah Muhamed melahirkan rasa kecewa apabila wang royalti petroleum kepada Terengganu tidak diberikan mengikut jadual yang ditetapkan.

Portal itu juga memetik Adun Hulu Terengganu, Rosol Wahid yang mendakwa kerajaan persekutuan melakukan penganiayaan terhadap rakyat Terengganu.

‘Adil dan saksama’

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata kerajaan Madani sentiasa bersikap adil dan saksama dalam hal pemberian kepada semua kerajaan negeri, yang disalurkan secara serentak setiap bulan.

"Kerajaan Madani komited memastikan bahawa wang ihsan dikhususkan untuk manfaat negeri Terengganu dan Kelantan, dengan keutamaan kepada perbelanjaan yang benar-benar membantu rakyat Terengganu dan Kelantan.

"Kerajaan sentiasa terbuka kepada perbincangan serta cadangan daripada kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan berhubung penggunaan wang ihsan supaya dapat dimanfaatkan secara langsung oleh rakyat Terengganu dan Kelantan," kata Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim.

Pertelagahan mengenai bayaran royalti minyak antara kerajan persekutuan dan kerajaan Kelantan serta Terengganu telah menjadi isu yang berlarutan sejak sekian lama.

Kelantan dan Terengganu mendakwa kedua-dua negeri itu berhak mendapat bayaran royalti minyak bagi petroleum yang dikeluarkan di luar pantainya.

Bagaimanapun kerajaan persekutuan memaklumkan kerajaan negeri tidak layak menerima hasil petroleum kerana kedudukan medan pengeluaran terletak lebih tiga batu nautika di luar pantai negeri berkenaan.

Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa kerajaan negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

Kerajaan persekutuan bagaimanapun membayar wang ihsan kepada Kelantan dan Terengganu, sambil berulang kali menyatakan ia tidak diwajibkan di sisi undang-undang untuk berbuat demikian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS