Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KLSCAH: Isu stoking diperbesar tokoh politik sebabkan suasana tegang
Diterbitkan:  Apr 8, 2024 5:33 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH) menyifatkan isu stoking tertera kalimah Allah yang diperbesarkan oleh tokoh-tokoh politik baru-baru ini menyebabkan suasana ketegangan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Presidennya Ngan Teng Ye dalam perutusan Aidilfitri menyatakan rasa bimbang bahawa isu hangat ini mencetuskan kebencian dan perpecahan antara kaum.

“Sempena sambutan hari raya, ia memberi ruang kepada masyarakat majmuk Malaysia untuk saling bermaaf-maafan perselisihan faham dan perbezaan antara kaum serta mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia.

“KLSCAH dengan ikhlasnya berharap pemimpin-pemimpin parti politik Malaysia dapat terus mengamalkan nilai 'Zhong Yong' dalam pentadbiran negara dan rakyat dari pelbagai etnik dapat mengukuhkan lagi persahabatan yang terjalin, saling berganding bahu membina sebuah negara yang bebas dan demokratik,” katanya, hari ini.

Dalam amalan masyarakat Cina, ‘Zhong Yong’ bermaksud perkara yang tidak boleh dihitung meliputi nilai-nilai murni seperti kesederhanaan, kejujuran, keikhlasan, kejujuran, kewajaran, keseimbangan, dan mengelak prasangka.

Sebelum ini kedai serbaneka KK Mart mencetuskan kontroversi selepas didapati menjual stoking yang tertera kalimah Allah.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh merupakan antara yang lantang mengecam KK Mart berikutan kontroversi itu.

Sejak itu, tiga cawangan kedai tersebut menjadi sasaran keganasan.

Pada Sabtu lalu KK Mart di Kuantan menjadi mangsa kedua serangan bom buatan sendiri. Ia menyusuli serangan pertama yang direkodkan di Bidor, Perak pada 26 Mac lalu.

Sementara itu Ngan berkata pihaknya berharap secara tidak langsung, sambutan hari raya yang diraikan setahun sekali ini penting untuk menerapkan nilai-nilai Islam, seperti toleransi, kesamarataan, pengampunan, dan belas kasihan.

“Aidilfitri bukan sahaja diraikan oleh umat Islam sahaja, sebaliknya turut diraikan bersama oleh semua kaum di Malaysia.

“Ini memaparkan keunikan Malaysia yang memang indah dengan masyarakat majmuk dan mewujudkan perpaduan dan keharmonian pelbagai kaum,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS