Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suami isteri didakwa bekal senjata pada warga Israel dituduh di mahkamah

Sepasang suami isteri yang didakwa membekalkan senjata api kepada seorang warga Israel bulan lepas didakwa di Mahkamah Sesyen Klang awal hari ini berhubung pemilikan pistol 9mm CZ 75.

Sharifah Faraha Syed Husin, yang berumur 41 tahun hari ini, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPAA) kerana didakwa memiliki pistol itu.

Sementara itu, suaminya Abdul Azim Mohd Yasin, 43, didakwa mengikut Seksyen 9 akta sama kerana bersubahat dengan Faraha apabila dia didakwa mengetahui pistol itu dalam pemilikannya.

Menurut dokumen mahkamah, pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 8 malam pada 29 Mac lalu di sebuah premis di Kampung Bukit Belimbing di Kuala Selangor.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan, menurut seorang pegawai kerajaan yang mengendalikan kes itu hari ini.

Mengikut undang-undang itu, Abdul Azim dan Faraha berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan sebat, jika didapati bersalah.

Mereka juga tidak ditawarkan jaminan kerana kesalahan yang ditetapkan di bawah FIPA tidak boleh dijamin.

Hakim Sesyen Sharifah Hascindie Syed Omar menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh timbalan pendakwa raya Mohammad Fakhrurrazi Bin Ahmad Salim dan Fazeedah Faik, manakala Abdul Azim dan Faraha tidak diwakili peguam.

Awal hari ini, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengumumkan bahawa pasangan yang didakwa membekalkan enam pistol dan 200 peluru kepada seorang warganegara Israel akan didakwa di mahkamah Klang.

Warga Israel itu yang dikenali sebagai Shalom Avitan berusia 37 tahun, pertama kali ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu.

Pihak berkuasa merampas enam senjata api dan 200 peluru daripada suspek, yang memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis pada 12 Mac.

Lelaki itu mendakwa dia datang ke Malaysia untuk membunuh seorang lagi warga Israel kerana pertikaian keluarga, tetapi polis percaya dia mempunyai motif lain.

Susulan itu, polis menahan sepasang suami isteri di Kuala Selangor pada 28 Mac yang dipercayai bertanggungjawab memberikan senjata api kepada warga Israel itu, yang disyaki diseludup dari negara jiran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS