Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu logo kasut: Jangan ambil kesempatan buat provokasi, kata SKMM
Diterbitkan:  Apr 8, 2024 10:21 AM
Dikemaskini: 2:21 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran terhadap sebarang cubaan provokatif yang mengambil kesempatan terhadap isu logo didakwa mirip kalimah Allah pada tapak kasut jenama tempatan.

“SKMM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sekiranya ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap isu tersebut dan membuat hantaran atau meninggalkan komen melampaui batas yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

“Semua pihak perlu memberikan ruang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan ini,” kata SKMM dalam kenyataan, hari ini.

Pengawal selia kandungan internet negara itu juga menggesa mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat di media sosial berkaitan isu berkenaan untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa termasuk polis.

Terdahulu, dakwaan logo pada tapak kasut keluaran Vern’s Holdings Sdn Bhd menyerupai kalimah Allah mula dibangkitkan di media sosial pada 23 Mac lalu.

Namun ia menjadi tular selepas satu lagi video membuat dakwaan serupa, semalam.

Syarikat itu menjelaskan imej pada tapak kasut keluarannya telah disalah tafsir sehingga mencetuskan kontroversi.

Dalam kenyataan semalam, syarikat itu berkata logo tersebut tidak bertujuan menghina mana-mana agama atau kepercayaan, sebaliknya hanya rekaan grafik garisan tali yang bersambung dengan tapak kasut tumit tinggi.

"Untuk pengetahuan semua, logo ini 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi, seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan," katanya.

Pada masa sama, syarikat itu mengakui kekurangan pada logo tersebut sehingga boleh disalah tafsir, dan maka memohon maaf dan telah mengambil langkah segera menghentikan penjualan kasut dan logo berkenaan serta sedia memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut.

Sementara itu SKMM mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R (race, royalty, religion).

“Sebaliknya laporkan kepada SKMM dan PDRM untuk tindakan selanjutnya,” kata SKMM lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS