Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin pada MP, Adun 'derhaka': Tak apalah, dia boleh beraya dulu
Diterbitkan:  Apr 5, 2024 6:28 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Muhyiddin Yassin berkata enam ahli parlimen Bersatu bolehlah menikmati keriangan Aidilfitri terlebih dulu sebelum nasib mereka ditentukan berdasarkan pindaan perlembagaan parti berkenaan baru-baru ini.

Kata presiden Bersatu itu, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana meluluskan pindaan yang digubal ekoran tindakan wakil rakyat parti berkenaan menyokong kerajaan.

Ketika ini, kata Muhyiddin, Bersatu mengambil tindakan susulan daripada kelulusan pindaan berkenaan terhadap wakil rakyat yang mengambil tindakan sendiri menyokong kerajaan.

“Ini bulan puasa, tak apalah, dia boleh beraya dulu. Selepas itu kita akan mengambil langkah-langkah sewajarnya mengikut pindaan perlembagaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sebelum ini enam ahli parlimen dan seorang Adun Bersatu mengambil tindakan sendiri dengan mengabaikan kehendak parti apabila menyatakan sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ia dibuat di sebalik kewujudan akta antilompat parti yang sebelum ini dianggap dapat menghalang seseorang wakil rakyat berpaling tadah.

Bersatu kemudian mengambil langkah susulan bagi mengelakkan lebih ramai pemimpin atau wakil rakyat mereka berpaling tadah dengan meminda perlembagaan dan memohon kelulusan kepada ROS.

Pindaan itu dliuluskan oleh ROS baru-baru ini, sekali gus membuka pelbagai kemungkinan terhadap nasib wakil-wakil rakyat Bersatu yang berkenaan.

Wakil rakyat terbabit setakat ini mendakwa pindaan berkenaan tidak terpakai kepada mereka.

Kata Muhyiddin ketika ini enam ahli parlimen dan seorang Adun Bersatu itu bebas membuat apa saja tafsiran berkenaan kesan pindaan berkenaan dan sama ada mereka terkesan atau pun tidak.

“Bagi saya tak apa... mungkin mereka tak faham atau pun mereka sengaja nak mencari alasan untuk menyatakan sesuatu untuk menyedapkan hati mereka sendiri,” katanya.

Bekas perdana menteri itu juga menganggap ahli parlimen dan Adun berkenaan mungkin sedang terkejut kerana tidak menyangka pindaan perlembagaan Bersatu atau memberi kesan kepada mereka.

Justeru katanya mereka diminat menunggu saja masa yang dianggap sesuai untuk Bersatu melaksanakan dan menguatkuasakan perkara dalam perlembagaan yang dipinda itu.

"Diharapkan dengan begitu maka kerusi yang terlibat iaitu 6 parlimen dan satu DUN akan terkosong, kerana dalam perlembagaan itu menyatakan apabila seseorang mengambil langkah sebegini maka keahlian dalam parti itu akan terhenti.

"Maknanya (mereka) tidak lagi menjadi ahli maka kesannya ialah kerusi itu mesti dikosongkan," katanya sambil menegaskan penguatkuasaan berkenaan akan dibuat tidak lama lagi.

Muhyddin juga memberitahu Bersatu sudah menyediakan kumpulan guaman yang sewajarnya bagi meneliti segala tindakan yang bakal diambil.

Enam ahli parlimen yang kini menjadi penyokong kerajaan tanpa meninggalkan Bersatu ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Satu-satunya Adun yang mengambil langkah sama ialah Abdul Rashid Asari (Selat Klang).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS