Wanita DAP mempunyai beberapa nama untuk diketengahkan sebagai calon mewakili PH dalam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu di Selangor pada 11 Mei ini.
Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching bagaimanapun berkata keputusan akhir mengenai calon tersebut hanya akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti selepas mengadakan perbincangan dengan DAP Selangor.
“Perbincangan ini akan melibatkan Setiausaha Agung (Anthony Loke), Pengerusi (Lim Guan Eng), Timbalan Pengerusi (Gobind Singh Deo) dan dua lagi Naib Pengerusi iaitu M Kulasegaran dan Nga Kor Ming bersama DAP Selangor,” katanya.
Teo yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan pek berbuka puasa kepada petugas Jabatan Pengarang Bernama dan Bernama TV di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Teo yang juga Timbalan Menteri Komunikasi menyeru supaya kempen PRK dijalankan secara berhemah dan tidak menyentuh isu sensitif yang berkaitan 3R (bangsa, agama dan raja).
“Walaupun terdapat banyak perbezaan, biarlah kita ada satu perbahasan (ceramah) yang rasional dan membina.
“Jangan kita menyentuh isu 3R untuk mengapi-apikan sesama sendiri, kerana pada akhirnya kita perlu ingat bahawa identiti pertama kita ialah warga Malaysia,” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).
Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Lee, 58, yang menjadi Adun Kuala Kubu Bharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas berjuang melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.
PRK Kuala Kubu Bharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022.
Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
- Bernama