Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan siswa bantah etika pakaian, mahu UM kekal 'liberal'
Diterbitkan:  Apr 5, 2024 4:52 PM
Dikemaskini: 11:01 AM
  • Dikemas kini dengan tambahan kenyataan Neo-Siswa Universiti Malaya.


Kumpulan pelajar membantah kod etika pemakaian Universiti Malaya (UM) yang baru dikeluarkan atas dakwaan bersifat konservatif.

Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) Ten Kang Yeaw berkata kod itu menjejaskan persekitaran “progresif dan liberal” di universiti tertua di Malaysia itu.

Katanya, sebagai universiti peneraju, dengan 20 peratus pelajar antarabangsa, UM mesti menyediakan persekitaran inklusif, progresif, rencam serta membiarkan mahasiswa belajar tanpa kekangan peraturan yang tidak munasabah.

Ten Kang Yeaw

“Bagaimanapun, dalam beberapa bulan terakhir, Kementerian Pengajian Tinggi dan pentadbiran UM telah berulang kali memperkenalkan dasar-dasar yang konservatif,” katanya.

Umany dan Suara Siswa UM pagi tadi mengadakan sidang media membantah kod itu yang dikeluarkan pada 3 April, termasuk melalui media sosial universiti.

Mereka tidak menyatakan secara khusus bahagian yang dibantah.

Bagaimanapun, daripada poster dipamerkan semasa sidang media, ia berkaitan larangan memakai seluar pendek ketika bersukan.

“Cuaca panas, saya tidak mahu main bola pakai seluar panjang,” menurut salah satu poster dalam bahasa Mandarin  yang dipamer kepada media.

Dalam larangan yang dikongsi UM di media sosial, pelajar perempuan dikehendaki memakai seluar panjang dalam acara sukan dan rekreasi. 

Pelajar lelaki pula hendaklah memakai seluar panjang atau seluar tiga suku.

Kehendak orang yang duduk dalam ‘air-cond’

Sementara itu, Suara Siswa pula berkata garis panduan itu perlu ditarik balik serta-merta.

“Keselesaan pelajar mesti dijadikan keutamaan dan bukan kehendak mereka yang duduk dalam bilik air-cond (pendingin hawa),” kata presidennya Abqari Annuar.

Abqari Annuar

Dia juga berkata universiti tidak harus melayan mereka seperti budak-budak.

Sebaliknya, kata  Abqari, mereka harus dibiarkan membuat keputusan sendiri, termasuk soal apa yang hendak dipakai.

Kumpulan Islam sokong

Sementara itu, Neo-Siswa Universiti Malaya (NSUM) pula menyatakan pendirian sebaliknya.

“Pakaian menunjukkan satu lambang etika dan adab agar mahasiswa dan mahasiswi sentiasa kelihatan kemas dan sopan. 

“Kita perlu menunjukkan imej yang positif serta menjadi contoh teladan yang baik kepada institusi pengajian tinggi yang lain terhadap bidang ilmuan,” kata NSUM dalam kenyataan petang ini.

Dalam laman webnya, kumpulan itu memperkenalkan diri mereka sebagai gerakan yang membawa gagasan pembaharuan dan pemurnian imej agar kembali kepada “identiti mahasiswa Islam sebenar”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS