Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tahanan rumah: Lebih adil beri pada banduan lain, bukan Najib - Bersih
Diterbitkan:  Apr 5, 2024 4:02 PM
Dikemaskini: Apr 22, 2024 2:33 AM

Bersih hari ini menegaskan, tidak wajar untuk Najib Razak dibenarkan keluar dari penjara dan menghabiskan tempoh hukumannya di rumah berdasarkan kepada pelbagai faktor.

Dalam kenyataan hari ini, Bersih berkata, tidak semua banduan wajar diberikan kelonggaran tersebut.

Kata Bersih jika Najib dibenarkan menjalani tahanan di rumah, ia memberi duluan yang 'bahaya' dan memungkinkan keputusan rasmi dibuat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan - yang telah muktamad - dipinda pada bila-bila masa.

"Bersih menegaskan, berdasarkan pengamalan semasa, hukuman tahanan rumah melalui Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) hanya boleh diberikan kepada banduan yang terlibat dalam kesalahan kecil iaitu yang menjalani hukuman penjara selama empat tahun dan ke bawah.

"Tambahan pula, Najib masih memiliki beberapa pertuduhan jenayah berat yang masih berjalan di mahkamah.

"Sekiranya banduan yang terlibat dalam kes jenayah berat seperti Najib mendapat keistimewaan tahanan rumah, adalah lebih adil untuk keistimewaan tersebut diberikan kepada banduan lain yang lebih memerlukan khususnya banduan wanita yang masih mempunyai anak kecil," katanya.

Isu pelepasan Najib dari penjara muncul sejak 3 April lalu apabila bekas perdana menteri terbabit mendakwa ada addendum (bahagian tambahan) pada pengampunan diraja yang membenarkan dia menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Najib membuat dakwaan itu dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 April lalu.

Melalui permohonan tersebut dia memohon mahkamah mengarahkan menteri dalam negeri, peguam negara, lembaga pengampunan, kerajaan dan beberapa lagi responden untuk mengesahkan dakwaan tersebut.

Najib mendakwa addendum itu dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Jan lalu.

Mengulas dakwaan tersebut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata dia tiada sebarang maklumat berhubung addendum seperti didakwa Najib.

Sebaliknya menurut Saifuddin dia hanya menerima surat permohonan Najib untuk menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.

“Dan saya tiada maklumat berkaitan dokumen tambahan,” katanya sehari kemudian.

Menurut Bersih prinsip keadilan sedarjat dari sudut undang-undang dan hukum harus sentiasa diangkat sebagai prinsip utama bagi memelihara kedaulatan undang-undang negara.

"Bersih juga ingin mempersoalkan mengapakah perkara ini baru dibangkitkan sedangkan dalam keputusan lembaga pengampunan bertarikh 2 Feb lalu – yang didedahkan oleh peguam Najib, Mohamed Shafee Abdullah – tidak berbangkit berkenaan perintah tahanan rumah?

"Pada masa sama, jika benar wujud bahagian tambahan atau titah addendum bertarikh 29 Jan seperti yang didakwa, mengapa perkara tersebut tidak didedahkan oleh peguam Najib sebelum ini?

"Dakwaan terbaru ini seolah-olah akan menyebabkan satu duluan baru untuk keputusan rasmi lembaga pengampunan yang telah dimuktamadkan boleh diubah pada bila-bila masa," kata badan pendesak reformasi pilihan raya itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS