Bekas timbalan menteri Pulau Pinang P Ramasamy menyoal jika polis menggunakan alasan 'tiada laporan' untuk pihak berkuasa itu tidak mengambil tindakan terhadap ahli politik tertentu.
Ramasamy mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Razarudin Husain yang memaklumkan tiada laporan dibuat terhadap Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung hantaran di Facebooknya yang memaparkan gambar dia menghunus pedang samurai - senjata tradisional Jepun.
Pemimpan parti Urimai itu menegaskan polis tidak boleh mengatakan tiada siasatan akan dilakukan jika tiada laporan dibuat.
"Sama ada ini merupakan respons jujur oleh Razarudin atau sekadar alasan untuk tidak bertindak terhadap pemuda Umno (Akmal) masih perlu diketahui.
"Persoalannya - mengapa perlu ada laporan polis sebelum polis boleh bertindak terhadap Akmal, bukan sahaja kerana memuat naik imej beliau memegang pedang panjang, tetapi dalam konteks ketegangan etnik dan agama yang sedang berlaku.
"Jika Razarudin mengambil berat siasatan-siasatan polis yang lepas, terdapat banyak penyiasatan berkaitan yang tidak memerlukan laporan polis," katanya.
Hantaran Akmal bertarikh 14 Mac lalu, sehari selepas penemuan stoking yang tertera perkataan "Allah" dijual di salah sebuah cawangan kedai runcit KK Mart, beserta dengan kapsyen: "Walau apapun yang menimpa, kami tidak akan berganjak dengan pendirian kami. Biar mati berdiri daripada hidup melutut."
Ketika itu, Adun Merlimau menyeru pelaksanaan sistem pendidikan satu aliran, yang mencetus perdebatan sengit mengenai sekolah vernakular.
Komen pertama Akmal mengenai isu KK Mart dibuat sehari selepas 15 Mac, apabila dia menyatakan rasa tidak puas hati terhadap permohonan maaf rangkaian kedai serbaneka itu.
Pada hantaran sama juga, Akmal menyeru orang ramai memboikot KK Mart.
Sementara itu, Ramasamy mendakwa serangan bom petrol di tiga negeri - Perak, Pahang, dan Sarawak - tidak akan berlaku jika Akmal tidak "berkelakuan agresif" dalam seruannya memboikot rangkaian kedai serbaneka tersebut.
"Polis tidak boleh menjadi naif untuk tidak melihat perkaitan itu.
"Walaupun polis sangat cekap dalam menuduh pemilik dan pembekal KK Mart serta mereka yang menggunakan Facebook untuk membuat komen yang tidak menyenangkan berkenaan insiden stoking, namun mereka lambat dalam menangani vigilante (kumpulan yang mengambil tindakan sendiri) yang bergantung kepada 'mob-justice' (pengadilan jenayah) dan mereka yang bertanggungjawab atas insiden bom petrol itu.
"Polis boleh memberi keutamaan kepada laporan sebelum penyiasatan dimulakan. Ia mungkin menjadi prosedur operasi standard.
"Pastinya, dalam situasi kecemasan, adakah perlu laporan sebelum polis boleh bertindak," soalnya.
Oleh itu, Ramasamy menggesa polis untuk lebih bersedia dan "tidak berkelakuan seperti ahli politik di negara ini."
Tegasnya, bahawa polis harus dilihat berfungsi dengan tidak berat sebelah bukan atas dasar ketepatan atau kesesuaian politik.
Dia kemudian mendakwa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mungkin tidak memberi nasihat yang betul kepada polis.
"Sebaik sahaja polis terjerat dalam politik kerajaan, ia akan menjadi hari paling sedih bagi etika keprofesionalan anggota polis," kata Ramsamy lagi.
Ada undang-undang begitu?
Dalam perkembangan berkaitan, bekas menteri Zaid Ibrahim turut menyoal ketua polis negara jika terdapat peraturan sedemikian.
"Adakah terdapat undang-undang sedemikian? Jika negara sedang berdepan konflik dan tiada sesiapa yang membuat laporan, maka polis tidak boleh berbuat apa-apa," soalnya.
Zaid kemudian menyorot ketika dia didakwa menghina perdana menteri pada tahun 2014, Najib Razak.
"Tidak ada orang awam yang membuat laporan.
“Jadi, Bukit Aman mendapatkan seorang anggota polis untuk membuat laporan polis pertama. Ia cukup mudah.
"Saya syak (dalam kes semasa) tidak ada penyiasatan kerana subjek atau individu yang berkaitan adalah pemimpin Umno yang berpangkat tinggi.
“Saya hanyalah orang biasa," kata Zaid lagi.