Paling Popular
Terkini

Di sebalik titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas isu stoking yang tertera kalimah Allah, termasuk menghasut rakyat, pendirian Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh untuk memboikot KK Mart tetap tidak berganajak.

Ketika ditanya Malaysiakini jika dia akan akur dengan titah Seri Paduka Baginda dan kepimpinan Umno pusat untuk semua pihak berhenti daripada terus memainkan isu berkenaan, Akmal menyoal: "Agong ada larang untuk tidak boikot ke?”

Dr Muhamad Akmal Saleh

Mengulas soalan sama ada dia akan mengambil tanggungjawab daripada memperbesarkan-besarkan isu itu, Akmal berkali-kali mendesak wartawan untuk menjelaskan apa yang dilakukannya yang boleh dianggap sebagai “mengapi-apikan lagi keadaan”.

“Awak jelaskan apa yang saya buat untuk mengapikan-apikan (keadaan) kemudian, saya jawab soalan,” katanya.

Sebelum itu, dalam satu hantaran di Facebook, memberi bayangan kempen boikot terhadap kedai serbaneka KK Mart akan tetap diteruskan di sebalik arahan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno melalui presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, pemimpin tidak perlu gentar membawa suara rakyat yang telah membuat keputusan.

"Pemimpin perlu membawa suara rakyat tanpa rasa gentar. Rakyat sudah membuat keputusan mereka tanpa sebarang paksaan.

"Kekal tenang dan teruskan boikot secara aman. Kekal berprinsip," tulisnya.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan MKT Umno melalui Ahmad Zahid telah mengarahkan supaya ketua pemuda parti itu berhenti daripada terus memainkan isu stoking tertera kalimah Allah.

Ahli MKT Umno, Bung Moktar Radin yang memaklumkan perkara itu berkata arahan tersebut selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya menghentikan isu berkenaan daripada terus menjadi polemik.

Katanya, tidak timbul soal bersetuju atau tidak dengan tindakan Akmal menekan KK Mart dalam isu itu kerana Umno telah membuat keputusan mahu perkara itu dihentikan.

"Presiden Umno sudah minta Akmal (menghentikannya) dan menjelaskan bahawa KK Mart tidak membuat perancangan mengenai perkara itu, kita terima hakikat perkara itu perlu dihentikan.

"Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan supaya menghentikan isu itu dan bagi saya itu sudah memadai," kata Bung.

Awal hari ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika berkenan menerima mengadap pengasas dan pengerusi eksekutif Kumpulan KK Supermart, Chai Kee Kan, juga mengingatkan supaya jangan ada pihak mengambil kesempatan, termasuk menghasut rakyat.

Sambil bertitah menekankan semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati, Seri Paduka Baginda juga mengingatkan mereka supaya lebih bertanggungjawab.

“Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini.

“Sekali lagi, saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Selain menjadi sasaran kempen boikot, tiga kedai serbaneka kumpulan KK Mart, baru-baru ini juga diserang cubaan bom api.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS