Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
SPRM pastikan titah Agong dilaksanakan sepenuhnya, penuh integriti - Azam

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memastikan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dilaksanakan sepenuhnya, dan menjalankan tanggungjawab itu dengan penuh integriti.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan hari ini berkata SPRM menjunjung kasih titah Agong bahawa memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara adalah antara tumpuan utama dalam pemerintahan baginda.

Beliau berkata titah Seri Paduka Baginda melambangkan ketegasan baginda memerangi ancaman rasuah, malah perlu dijunjung oleh setiap lapisan masyarakat kerana rakyat yang bebas rasuah merupakan kayu pengukur dan teras kepada keutuhan serta kestabilan negara.

“Sehubungan itu sebagai agensi penguat kuasa yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah di negara ini, SPRM akan memastikan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan sepenuhnya dan menjalankan tanggungjawab tersebut dengan penuh integriti,” katanya.

Azam juga berharap agar semua rakyat Malaysia, khususnya keseluruhan jentera kerajaan tanpa kompromi, dapat berganding bahu bersama SPRM dalam menjunjung dan melaksanakan titah berkenaan.

Semalam Sultan Ibrahim dalam catatan di laman sosial rasmi baginda itu juga bertitah bahawa tempoh bulan madu menaiki takhta sudah berakhir, selain turut memuat naik gambar menyerahkan madu Azam sebagai simbolik berakhirnya tempoh ‘bulan madu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS