Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim menafikan mempunyai hubungan dengan pemain industri vape selepas dakwaan program berbuka puasa Pemuda PKR (AMK) yang diadakan di Seremban Sabtu lalu ditaja oleh kumpulan itu.
Adam yang juga ketua AMK berkata majlis berkenaan yang diadakan bagi meraikan ahli-ahli mereka di Negeri Sembilan tidak ditaja oleh mana-mana syarikat atau orang persendirian.
"Kami (AMK) membayar dengan peruntukan kami sendiri. Kami pun tidak tahu siapa pemilik restoran ini.
"Terlalu jauh untuk kaitkan kami dengan pelobi industri vape," katanya kepada Malaysiakini.
Awal hari ini, laman Facebook Medical Mythbusters Malaysia - sebuah laman Facebook yang lantang menentang pelobi industri rokok dan tembakau - berkongsi hantaran yang mendakwa Adam bersama Timbalan Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim telah dipengaruh oleh pemain industri vape yang juga memiliki restoran di Seremban.
'Kami bayar semua makanan'
Hantaran tersebut mendakwa individu yang dikatakan pelobi itu bukan sahaja menaja program tersebut tetapi turut menjemput Adam dan Kamil untuk berkongsi hidangan berbuka puasa dalam talam, sekaligus menunjukkan hubungan antara pelobi industri vape dan wakil rakyat.
"Individu tersebut tidak berada di situ pun. Foto tersebut diambil oleh ahli AMK tetapi telah dikongsi oleh individu tersebut," kata Adam.
Kamil juga turut menegaskan bahawa dia tidak mengetahui perniagaan lain yang dijalankan restoran tersebut.
"Justeru tidak timbul soal pelawaan. Ia adalah program AMK dan kami bayar semua makanan," katanya.
Hantaran asal pada laman berkenaan turut merujuk pendedahan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat yang mengatakan bahawa lobi dari wakil industri tembakau dan vape memberi pengaruh besar terhadap pengguguran peruntukan generasi penamat (GEG) daripada undang-undang untuk mengawal merokok.
Tinjauan Malaysiakini mendapati hantaran Facebook tersebut telah dipadam atau disembunyikan beberapa jam selepas ia dimuat naik.
Cadangan asal kerajaan untuk melarang individu yang dilahirkan selepas tahun 2007 daripada membeli produk rokok telah ditarik balik daripada Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 yang baru diluluskan.