Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO mahu PM buktikan 'anak Cina anak saya, anak India anak saya'

Kerajaan akan dianggap mengamalkan dasar pilih kasih jika tidak ada tindakan segera diambil terhadap pendakwah Islam yang menghina agama bukan Islam.

Menurut Pertubuhan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu membuktikan bahawa dia melayan semua rakyat Malaysia secara adil seperti yang pernah diucapkannya berkali-kali semasa berceramah.

Pengerusi GHRF S Shashi Kumar berkata sebelum ini Anwar kerap menyebut bahawa “anak Melayu anak saya, anak Cina anak saya, anak India anak saya, anak Kadazan anak saya dan anak Iban anak saya.”

Justeru katanya GHRF mahu ikrar itu dibuktikan dengan tindakan dan mengambil langkah wajar terhadap kaum bukan Melayu yang didiskriminasi dengan hasutan menghina agama.

“Perdana menteri ini saya lihat hanya tahu cakap saja namun saya tidak nampak ketegasannya dalam menangani isu ini,” katanya.

Dia turut menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan sikap pihak berkuasa yang didakwanya terlalu menjaga sensitiviti orang Melayu sehingga mengabaikan rintihan orang bukan Melayu.

“Sekakat ini kami sudah membuat laporan polis terhadap pendakwah seperti Zamri Vinoth, Firdaus Wong dan Ustaz Syakir Nasuha yang jelas menghina agama bukan Islam dengan label seperti 'agama lembu', 'Siva Lingam' serta mendakwa agama lain ingin membunuh orang Islam.

“Namun pihak berkuasa mengklasifikasikan (kes itu) tiada tindakan lanjut.

"Ia berbeza dengan isu sensitiviti umat Islam seperti KK Mart apabila Peguam Negara terus membuat pendakwaan,” katanya.

Sashi Kumar menyerahkan memorandum kepada kakitangan Jabatan Peguam Negara

Terdahulu GHRF bersama 71 NGO termasuk dari Sabah dan Sarawak berkumpul di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya untuk menghantar memorandum meminta tindakan diambil ke atas beberapa individu yang dianggap menghina serta mengutuk kepercayaan atau agama bukan Islam.

Sebelum ini, sekumpulan ahli parlimen bukan Islam dari PH menggesa Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas terhadap beberapa yang dianggap menghina agama bukan Islam.

Sashi Kumar menegaskan perbuatan individu terbabit berlaku sejak tokoh dari India, Zakir Naik, ada di negara ini.

Sementara itu peguam dan aktivis, Siti Kasim, yang turut hadir memberi sokongan kepada NGO berkenaan menegaskan, desakan dibuat mereka bukan khusus daripada kaum India.

Sebaliknya, kata Siti, rasa tidak puas hati terhadap kerajaan itu juga dialami oleh bangsa-bangsa lain.

“Kerajaan ini yang didominasi oleh PH harus sedar bahawa kaum bukan Melayu inilah yang memberikan sokongan kuat kepada mereka.

“Muka-muka yang turun berhimpun inilah yang akan memberikan undi serta menyokong anda (PH).

“Namun kerajaan ini masih lagi berharap kepada undi orang Melayu yang sudah didoktrin fahaman melampau politik PAS,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS