Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
KES 1MDB: Shafee dakwa keterangan Jasmine Loo untuk selamatkan diri

KES 1MDB | Peguam utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah menuduh saksi utaman pendakwaan, Jasmine Loo memberikan keterangan demi kepentingan diri sendiri.

Bagaimanapun Loo, bekas penasihat undang-undang 1MDB yang melarikan diri selama beberapa tahun sebelum pulang ke Malaysia pada tahun lalu, menafikan dakwaan itu dan sekali lagi menyatakan dia hanya memberikan pernyataan lisan berkaitan 1MDB.

Pertembungan antara Shafee dan Loo berlaku ketika perbicaraan kes rasuah 1MDB RM2.27 bilion terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Shafee memeriksa balas Loo berkenaan keterangan berkaitan langkah 1MDB memeterai apa yang dinamakan sebagai perjanjian kewangan Murabaha pada 2010, yang menyebabkan syarikat itu kerugian AS$1 bilion (RM4.73 bilion).

Dalam keterangannya, Loo berkata berdasarkan ingatannya, dokumen yang diperlukan dalam urus niaga itu diberikan oleh Low Taek Jho, atau Jho Low, kepada Najib untuk ditandatanganinya.

Shafee kemudian berkata keterangan itu adalah khabar angin memandangkan Loo menyatakan yang Jho Low yang memberitahu perkara itu kepadanya.

Shafee: Dakwaan anda demi kepentingan diri (self-serving), memandangkan anda berada di bawah siasatan yang ketat dan (keterangan) ini untuk menyelamatkan anda, Jho Low dan orang lain.

Loo: Tak setuju. Saya beritahu mahkamah apa yang berlaku.

Saman 1MDB

Shafee kemudian mengingatkan Loo berkenaan saman 1MDB terhadapnya yang masih belum selesai, berhubung dakwaan penglibatannya dalam transaksi salah melibatkan wang syarikat. Loo mengesahkan dia memang disaman.

Ketika Shafee bertanya jika dia sudah memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman sivil 1MDB itu, dia berkata dia akan berbuat demikian apabila tiba waktunya, dan akan meminta nasihat pasukan peguamnya berkenaan perkara itu.

Bagaimanapun, apabila mengimbas kembali, Loo berkata dia setuju dengan hujah Shafee bahawa 1MDB bertukar menjadi "penipuan sepenuhnya" melibatkan usaha sama berbilion ringgit dengan Petrosaudi International Limited.

Perbicaraan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Najib didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB bernilai RM2.27 billion.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS