Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Haramkan' kafir: Tak adil hukum, keji tanpa tahu konteks ucapan menteri
Diterbitkan:  Apr 1, 2024 3:31 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Umat Islam dinasihatkan agar menumpukan masa mereka untuk memanfaatkan baki Ramadan yang ada berbanding menimbulkan lebih banyak polemik mengenai isu perkataan "kafir".

Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah berkata sebarang perbezaan pandangan seharusnya disampaikan dengan cara yang lebih baik.

"Pada Ramadan yang mulia ini, masyarakat dinasihatkan untuk lebih menumpukan kepada ibadah dan tidak menimbulkan banyak polemik yang berpanjangan yang membawa kepada natijah yang tidak baik kepada keharmonian masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia mengulas mengenai isu yang tular sejak kelmarin berkaitan kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang didakwa "mengharamkan" penggunaan kalimah kafir di rumah dan dalam kalangan anak-anaknya.

Jelas Luqman, perkataan kafir merupakan kalimah bahasa Arab dan istilah dalam al-Quran dan hadis bagi menunjukkan perbezaan di antara orang yang beriman dan orang yang kufur kepada Allah SWT.

Katanya ungkapan kafir banyak kali disebut dalam al-Quran dan hadis.

Bagaimanapun, menurut Luqman, penggunaan istilah tersebut dalam konteks interaksi bersama orang bukan Islam boleh berubah mengikut kesesuaian keadaan, tempat dan situasi agar ia lebih harmoni.

Fadhlina Sidek

Katanya lagi, merujuk kepada potongan video ucapan Fadhlina di majlis tertutup itu, adalah tidak adil untuk mana-mana pihak menghukum menteri terbabit tanpa melihat kepada konteks keseluruhan ucapannya.

"Adalah tidak adil untuk (orang ramai) terus menghukum dan mengeji berasaskan kepada potongan video tanpa melihat kepada konteks keseluruhan yang dimaksudkan dalam ucapan berkenaan.

"Masyarakat perlu mengambil sikap berhati-hati dan cuba mendapat maklumat yang lebih terperinci sebelum membuat sebarang komen," katanya lagi.

Tidak untungkan agama

Semalam, Fadhlina membuat permohonan maaf susulan tularnya klip video pendek dan rekaan poster yang menunjukkan seolah-olah dia menolak penggunaan perkataan "kafir" yang merupakan salah satu ungkapan yang terdapat dalam Islam.

Dia menafikan dakwaan tersebut, yang katanya dibuat di luar konteks sebenar dan menyimpang daripada apa yang dimaksudkan olehnya.

"⁠Saya sebutkan bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya menyebut istilah 'kafir' yang mempunyai konotasi kebencian terhadap warga non-Muslim yang hidup bersama-sama dalam negara tercinta," jelas Fadhlina.

Turut terlibat dalam polemik tersebut ialah Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin yang menegaskan, seseorang yang mengharamkan perkataan kafir sama seperti mengharamkan al-Quran dan sunnah.

Namun reaksi pantas Mohd Asri mendapat pelbagai reaksi termasuk dalam kalangan ahli agama yang menasihatkan dia agar melihat konteks ucapan Fahdlina terlebih dulu.

Luqman berkata sikap sindir-menyindir, menggunakan kata-kata kesat dan tuduh menuduh di media sosial tidak akan menguntungkan umat Islam.

Justeru, tegasnya, semua pihak perlu berhati-hati dan tidak membuat kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham serta membuka ruang kepada fitnah.

"Penggunaan istilah-istilah hukum-hakam agama tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk tujuan kepentingan tertentu yang tidak berasaskan kepada asas ilmu Islam yang sebenar," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS