Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kedutaan AS ada imuniti, perintah bayar jaga RM66,000 tidak terpakai'

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa perintah daripada Mahkamah Perusahaan Malaysia tidak terpakai ke atas Kedutaan Amerika Syarikat yang mempunyai imuniti atau kekebalan.

Justeru perintah ke atas Kedutaaan Amerika Syarikat supaya membayar sebanyak RM66,000 kepada seorang pengawal keselamatan susulan pemecatannya secara tidak sah 15 tahun lalu tidak terpakai.

Hakim juga mengarahkan Subramaniam , 56, untuk membayar kos RM8,000 kepada kedutaan itu.

Keputusan itu dimaklumkan pagi ini melalui e-mel kepada pasukan peguam kedutaan tersebut dan bekas pengawal keselamatan L Subramaniam.

Tahun lalu, Mahkamah Perusahaan memerintahkan Kedutaaan Amerika Syarikat membayar sebanyak RM66,000 kepada Subramaniam susulan pemecatannya secara tidak sah 16 tahun lalu.

Kedutaan AS kemudian membawa kes itu kepada mahkamah sivil Malaysia untuk membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi membatalkan award berjumlah RM66,000 yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan kepada seorang bekas pengawal keselamatan yang bertugas di Kedutaan AS kerana pemecatannya secara salah.

Hakim Datuk Amarjeet Singh dalam keputusannya berkata mahkamah mendapati pemohon (kerajaan AS) dan kedutaannya mempunyai imuniti dan terlindung daripada bidang kuasa Mahkamah Perusahaan berkenaan dengan tuntutan bekas pengawal keselamatan L Subramaniam di bawah Seksyen 20 (3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

"Oleh itu, mahkamah membenarkan semakan kehakiman pemohon. Responden kedua (Subramaniam) perlu membayar kos RM8,000," kata hakim itu dalam keputusan yang disampaikan melalui e-mel.

Peguam Lim Heng Seng dan Summer Chong Yue Han mewakili kerajaan AS manakala Subramaniam diwakili peguam Ragunath Kesavan dan Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili Peguam Negara selaku amicus curiae atau sahabat mahkamah.

Pada 9 Ogos tahun lepas, kerajaan AS memfailkan permohonan baharu itu dengan menamakan Mahkamah Perusahaan dan Subramaniam sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonan itu, Kerajaan AS memohon perintah untuk membatalkan award yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan pada 2023 kepada Subramaniam.

Kerajaan AS turut memohon perintah mahkamah agar pemecatan Subramaniam adalah kerana salah laku disiplin dalaman kedutaan negara itu, dan negara terbabit serta kedutaannya dilindungi imuniti daripada bidang kuasa Mahkamah Perusahaan berkenaan dengan tuntutan Seksyen 20 (3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Pada 8 Jan 2020, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa kerajaan AS dan kedutaannya dilindungi oleh imuniti serta mengarahkan Mahkamah Perusahaan tidak mendengar kes pemecatan salah Subramaniam. 

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2021 mengetepikan keputusan itu dan memerintahkan Mahkamah Perusahaan meneruskan pendengaran tuntutan tersebut yang menyebabkan kerajaan AS merayu ke Mahkamah Persekutuan, namun rayuan itu ditolak.

Pada 27 April 2023, Mahkamah Perusahaan memberikan award berjumlah RM66,000 kepada Subramaniam sebagai pampasan selepas mendapati kedutaan itu memecat beliau secara salah.

Sebelum ini, Subramaniam mendakwa beliau telah dipecat secara salah pada 2008 selepas bertugas lebih 10 tahun dengan Kedutaan AS.

Dakwa Subramaniam, 56, beliau hanya menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan di kedutaan itu dan tidak terlibat dengan fungsi diplomatik atau keputusan kerajaan AS selain tidak memiliki sebarang akses kepada maklumat atau dokumen sulit yang berkaitan dengan kedutaan itu atau kerajaan AS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS