Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan pandang remeh rasuah, jabatan kecil boleh sebabkan rugi RM2b'

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata masalah rasuah tidak boleh dipandang remeh, dengan membangkitkan kerugian hampir RM2 bilion ekoran pegawai kastam yang terlibat dalam penyeludupan.

"Orang yang meremehkan isu rasuah lupa yang dalam jabatan kecil kastam, masih boleh menyebabkan kerugian hampir RM2 bilion kepada negara," katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Anwar mengulas pendedahan SPRM Jumaat lalu berhubung sindiket penyeludupan melibatkan anggota Jabatan Kastam di bahagian kargo KLIA dengan jumlah ketirisan hampir RM2 bilion sejak tiga tahun lalu.

Anwar berkata kerugian dihadapi negara adalah lebih tinggi jika turut memgambil kira ketirisan subsidi dalam minyak masak dan diesel.

"Kalau kita kumpul semua (ketirisan), kita boleh selamatkan puluhan bilion ringgit," katanya lagi.

Pada masa sama, Anwar turut memaklumkan maklumat daripada badan penguatkuasaan, termasuk SPRM, menunjukkan pegawai tinggi dalam kerajaan masih terhindar daripada rasuah dan salah guna kuasa.

‘Warga luar nikmati subsidi’

Anwar berkata kerugian itu ekoran subsidi menyeluruh yang diberikan bukan saja kepada rakyat Malaysia, tetapi warga luar yang masuk ke Malaysia untuk menikmatinya.

"Sebab itu penguatkuasaan penting," kata Anwar.

Dia menyatakan bagaimana pegawai penguatkuasa di sempadan dapat mengenal pasti van dan lori dengan tangki besar berisi minyak di bawahnya.

Justeru, Anwar membangkitkan kepentingan subsidi bersasar untuk memastikan ia dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukannya.

Pengerusi PH itu turut mempertahankan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), memandangkan banyak pengecualian diberikan.

Pada masa sama, dia mengakui terdapat "sedikit kesan" ekoran kenaikan itu, antaranya peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga.

Namun dia berkata kos sejumlah barangan lebih rendah pada masa ini berbanding sebelum PRU15.

"Sebelum pertukaran kerajaan, berapa harga ayam? RM13 sekilogram. Sekarang jauh lebih rendah (iaitu) RM9 (sekilogram).

Dia turut mempertahankan kenaikan tarif elektrik yang bermula 1 Januari lalu, dengan menyatakan seramai 85 pengguna tidak terkesan dengannya.

Selain itu, Anwar berkata langkah reformasi awal, seperti Akta Tanggungjawab Fiskal 2023, telah membuahkan hasil menerusi pelaburan dan pengiktirafan daripada negara luar.

"Itu nampak (kerajaan) ada hasrat (dan) kesungguhan melaksanakan program perubahan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS