Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fadhlina minta maaf tapi tiada kompromi pada pemfitnah
Diterbitkan:  Mar 31, 2024 11:10 AM
Dikemaskini: 3:10 AM

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini membuat permohonan maaf susulan tularnya klip video pendek memaparkannya kononnya dia menolak penggunaan perkataan "kafir".

Menurut Fadhlina selain klip video yang ringkas itu, turut disebarkan ialah rekaan poster menunjukkan seolah-olah dia menafikan ungkapan yang memang ada dalam Islam.

Dakwaan tersebut, katanya, dibuat di luar konteks sebenar dan menyimpang daripada apa yang dimaksudkannya.

“Saya ingin memohon maaf sekiranya ada mengguris perasaan mana-mana pihak atas kesalahfahaman, keterlanjuran kata dan khilaf yang datang daripada kelemahan diri saya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Fadhlina, pandangan yang diberikannya itu dibuat dalam majlis tertutup ketika dia menyentuh kemelut penyebaran sentimen kebencian, sikap ghuluw (melampau) dan gejala takfiri dalam kalangan segelintir masyarakat.

Katanya sentimen jahat tersebut menular sehingga kepada anak-anak di sekolah dan ia tercetus hasil interaksi mereka dengan orang lebih dewasa yang mengambil pendekatan ekstrem.

"⁠Saya sebutkan bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya menyebut istilah 'kafir' yang mempunyai konotasi kebencian terhadap warga non-Muslim yang hidup bersama-sama dalam negara tercinta," jelasnya.

Pada masa sama ahli parlimen Nibong Tebal itu juga mengingatkan dia tidak akan berkompromi dengan siapa atau mana-mana pihak yang terlibat dalam fitnah terhadapnya.

“Saya tidak kompromi soal fitnah dan tuduhan jahat, serta kesengajaan penyelewengan konteks, lebih-lebih lagi ancaman keselamatan terhadap diri saya dan keluarga.

“Hakikatnya, ia adalah suatu salah faham dan kesengajaan penyelewengan konteks sebagaimana dinyatakan sebelum ini,” katanya.

Sejak semalam tular dakwaan Fadhlina "mengharamkan" penggunaan kalimah kafir termasuk di rumah dan dalam kalangan anak-anaknya.

Pengkritik kemudian mengecam dan menyindir menteri terbabit. Semalam juga Fadhlina dilaporkan menerima ugutan melalui alam maya susulan isu berkenaan.

Justeru dia sudah membuat aduan kepada polis sebagai langkah keselamatan, selain agar membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Ujar Fadhlina, isu sebutan kafir atau non-Muslim bukanlah bermakna dia melarang penggunaan perkataan yang memang dalam al-Quran itu.

Sebaliknya, Fadhlina berkata, ia adalah isu memilih panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS