Program Jualan Rahmah (PJR) yang berterusan dan bantuan kerajaan terhadap golongan yang memerlukan terbukti dapat dimanfaatkan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini, terutamanya sepanjang Ramadan kali ini.
Tidak terkecuali mendapat manfaat itu adalah penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di Johor Bahru yang dapat membeli barangan keperluan dengan harga lebih murah, lebih-lebih menjelangnya Aidilfitri tidak lama lagi menerusi Program Jualan Rahmah Ramadan (PJR Ramadan).
Penghuni PPR itu yang ditemui Bernama berkata meskipun berlaku kenaikan harga barang termasuk bahan mentah namun, usaha kerajaan memberi bantuan serta meneruskan Jualan Rahmah ternyata meringankan beban banyak pihak.
Ibu tunggal, Kamsiah Mostari, 64, berkata meskipun kenaikan harga barang memberi kesan kepadanya untuk membeli keperluan rumah tetapi dengan adanya Jualan Rahmah yang menawarkan harga lebih murah, sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung.
“Memang berlaku kenaikan harga barang tetapi bebanan tersebut kurang sedikit kerana banyak bantuan yang diberikan kerajaan untuk golongan kurang berkemampuan, ibu tunggal seperti saya,” katanya ketika ditemui Bernama di Johor Bahru.
Kamsiah berkata rakyat bersyukur kerajaan sentiasa prihatin dengan kesusahan yang dialami rakyat dengan menganjurkan banyak karnival jualan murah seperti Jualan Rahmah.
“Harapan saya agar kerajaan juga dapat meneruskan Program Jualan Rahmah kerana ia sangat memanfaatkan pelbagai golongan masyarakat..moga diteruskan selepas Ramadan dan Hari Raya selepas ini,” katanya.
Senada dengan Kamsiah, suri rumah, Rohayah Talo, 66, menzahirkan rasa bersyukur kerana selain kerajaan, terdapat juga badan korporat dan peniaga yang turut memberi sumbangan kepada mereka.
Menurut ibu kepada lima orang anak itu, usaha kerajaan yang sentiasa peka terhadap rakyat wajar diikuti semua pihak yang ingin membantu mengurangkan beban bukan sahaja golongan B40, malah M40 dan belia yang baru bekerja.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan kementeriannya mengambil inisiatif memperluaskan PJR di bawah agenda Payung Rahmah MADANI melalui pelaksanaan PJR Ramadan bermula pada 1 Ramadan.
PJR Ramadan dilaksanakan di 450 lokasi seluruh negara, yang dibuka secara berperingkat dan masih mengekalkan jualan barangan keperluan asas antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.
Program itu turut menyediakan jualan makanan keperluan harian seperti ayam, daging lembu, ikan dan pelbagai hasil laut, beras serta telur ayam dengan bekalan produk melibatkan kerjasama agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
- Bernama