Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Ramai pengguna jalan raya dijangka akan memilih tarikh 8 dan 9 April ini untuk pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Ini kerana kerana kerajaan telah mengumumkan pemberian tol percuma pada tarikh tersebut, sekali gus dijangka akan menyebabkan kesesakan luar biasa di lebuh raya seluruh negara.

Justeru, pengguna lebuh raya perlu memilih sama ada mahu meredah kesesakan ataupun menanggung kos bayaran tol jika pulang pada tarikh lain.

Pensyarah Pengangkutan dan Logistik, UiTM, Dr Harlina Suzana Jaafar berkata, pemberian tol percuma sememangnya diharapkan orang ramai setiap tahun kerana faktor penjimatan kos perjalanan pulang ke kampung.

"Pengguna lebuh raya pasti sangat gembira diberi tol percuma dan itulah yang diharapkan mereka kerana dapat mengurangkan beban kos perjalanan terutama bagi yang akan menempuh perjalanan jauh.

"Mereka yang tidak merancang untuk membuat perjalanan pada Hari Raya mungkin akan mengubah fikiran kerana tidak perlu lagi menanggung beban tol dan ini akan meningkatkan bilangan kenderaan seterusnya menyumbang kepada kesesakan yang teruk," katanya yang juga pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Puncak Alam.

Sehubungan itu, dia mencadangkan agar anggota polis dan ambulans berada dalam mod 'standby' di lebuh raya kerana dijangka bilangan kemalangan akan meningkat.

Menurut Harlina, antara cadangan lain yang boleh dipertimbangkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah menyediakan gerai-gerai makan, kemudahan surau dan tandas berhampiran susur keluar lebuh raya.

"Pengguna lebuh raya boleh memilih untuk keluar dari laluan lebuh raya dan berhenti rehat atau makan. Ini boleh mengelakkanorang ramai tertumpu di hentian R&R (Rehat dan Rawat). Di samping itu, mereka boleh membawa bekal makanan sendiri jika mahu elak kesesakan di R&R," katanya.

Bagi Pensyarah Kanan, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Gobi Krishna Sinniah berkata pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya perlu memberi perhatian terhadap isu kesesakan pada musim perayaan ini.

Jelasnya, ini kerana terdapat pengguna yang mahu pulang ke kampung halaman pada tarikh berkenaan semata-mata kerana mahu menikmati pemberian tol percuma.

Katanya keadaan itu akan menyebabkan kapasiti lebuh raya tidak menampung jumlah kenderaan sehingga aliran trafik menjadi sangat perlahan.

"Perkara ini harus ditangani dengan lebih berkesan oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan perlu mendapat perhatian yang tinggi daripada Kementerian Kerja Raya.

"Kapasiti 4 Lorong - 2 hala sudah tidak sesuai untuk kebanyakan laluan lebuh raya dan kerajaan perlu memperbesarkan laluan kepada 3 atau 4 lorong di kawasan tertentu serta pembesaran ruang kawasan R&R juga harus dikaji semula," katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan boleh memikirkan langkah proaktif lain selain dari tol percuma seperti pemberian diskaun pada hari-hari tertentu sebelum dan selepas Hari Raya dan memperkenalkan kaedah rebat tol berbeza mengikut hari tertentu.

Walaupun pengenalan Lorong Pintar atau Smart Lane pada musim perayaan dapat mengurangkan kesesakan namun ia tidak menyeluruh, kata Gobi.

"Pihak LLM perlu mengenal pasti lebih banyak lokasi lain (Lorong Pintar) bagi memastikan kelancaran trafik," katanya lagi.

Sementara itu, sebagai pengguna lebuh raya yang kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kelantan, Amira Shafira Radzi, 32, mengalu-alukan pemberian tol percuma sempena Aidilfitri.

"Setuju sangat (tol percuma) kerana sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan perjalanan.

"Suka atau tidak suka, kesesakan jalan raya adalah perkara normal yang perlu dihadapi setiap kali musim perayaan. Kita cuma perlu rancang perjalanan dan elakkan bertolak pada waktu puncak," katanya.

Seorang lagi warga Kelantan, Ahmad Fikri Mat Yusoff, 37, berkata kesesakan di lebuh raya boleh ditangani dengan kerjasama semua pihak dengan mematuhi jadual perjalanan yang disarankan ketika musim perayaan.

"Kesesakan ini juga boleh ditangani dengan membuka lebih banyak jaringan lebuh raya serta mempercepatkan proses serahan lebuh raya yang dalam pembinaan.

Selain itu, katanya, kesesakan turut berlaku berhampiran plaza tol walaupun pengguna tidak perlu membayar tol dalam tempoh berkenaan.

Ini kerana pengunaan perlu menyentuh kad prabayar touch n go mereka pada mesin pengimbas.

"Ini tidak membantu kelancaran aliran trafik di plaza tol.

“Sepatutnya syarikat konsesi pastikan palang terus dibuka sepanjang tempoh pelaksanaan tol percuma supaya kenderaan boleh melaluinya tanpa berhenti untuk ‘tap’ kad setiap kali dan menunggu palang terbuka," tambahnya lagi.

Bagi Anis Amirah, 31, kerajaan seharusnya sudah boleh menjangkakan kesesakan luar biasa sejurus membuat keputusan memberikan tol percuma.

Katanya, pihak berkuasa harus menambahbaik kemudahan dan fasiliti di R&R serta plaza tol bagi menghadapi kesesakan yang dijangka berlaku.

"Kita dah jangka jutaan kenderaan akan menggunakan lebuh raya dan tol, sepatutnya ada penambahbaikan fasiliti di R&R dan laluan tol itu sendiri.

"Sebagai contoh, tanda kaunter (signage) pada lorong tol perlu lebih tinggi kerana sukar dilihat dari jauh yang menyebabkan pemandu kerap menukar laluan pada saat akhir.

“Di situlah berlakunya kekalutan dan menjadi sesak kerana ramai yang tersilap lorong tol masing-masing," katanya yang akan pulang berhari raya ke Kulim, Kedah.

Bagi Wan Noraziah Wan Awang, 37, kesesakan di lebuh raya sudah menjadi lumrah lebih-lebih lagi pada musim perayaan.

"Tol percuma ini memang dinantikan. Cuma bagi saya, percuma atau tidak jalan akan tetap sesak.

"Bila (bagi tol) percuma ini sepatutnya perjalanan lebih lancar kerana tak perlu lagi beratur di plaza tol," katanya yang pulang ke kampung di Sg Petani, Kedah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS