Beberapa penganalisis berpendapat tindak-tanduk Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh, tidak memberi kesan ketara kepada keutuhan kerajaan perpaduan.
Hal itu kerana sikap ditunjukkan exco Melaka berkenaan dillihat tidak mewakili keseluruhan partinya.
Menyatakan pandangan sebegitu, ahli akademik di Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa, Lau Zhe Wei, berkata ketika Akmal kelihatan agresif Majlis Kerja Tertinggi Umno pula nampak lebih tenang menguruskan segala isu dalaman kerajaan.
“Sudah menjadi kebiasaan, pemimpin pemuda parti terutamanya Umno memang seorang yang sangat radikal dan lantang menyuarakan sesuatu isu,” katanya kepada Malaysiakini.
Lau memberitahu apa yang dilakukan oleh Akmal ketika ini adalah penting untuk publisiti dirinya sendiri sebagai ketua Pemuda Umno.
Bagaimanapun, pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid menegaskan publisiti politik Akmal - sekiranya diteruskan - berpotensi merugikan kerajaan.
Katanya ada kemungkinan besar pengundi akan berasa kecewa, khususnya dalam kalangan penyokong bukan Melayu di belakang PH.
Pada masa sama Ahmad Fauzi berkata, wajar untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersikap lebih tegas mengawal Akmal agar perbuatannya tidak memburukkan imej kerajaan.
“Anwar tidak boleh berdiam diri, dia seharusnya mengajak wakil-wakil parti dalam kerajaan perpaduan untuk meredakan ketegangan yang dicetuskan oleh Akmal.
“Anwar juga seharusnya meminta Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengawal tingkah laku Akmal,” katanya.
Jika gagal bertegas ke atas Akmal, kata Ahmad Fauzi, segmen tertentu dalam kalangan penyokong kerajaan akan bertambah kecewa dan menganggap kerajaan lebih mengutamakan sensitiviti Melayu.
Hal itu perlu diperhatikan, katanya, kerana pengundi bukan Melayu menyumbang undi yang besar kepada PH.
Akmal, 35, menjadi perhatian ramai apabila lantang mengecam syarikat rangkaian kedai serbaneka KK Mart ekoran penemuan stoking tertera kalimah Allah di dua premisnya.
Dia nak apa lagi
Dia juga menggerakkan kempen memboikot kedai tersebut. Dia juga menegaskan akan bertindak dengan cara sama jika rangkaian pasar raya Mydin - yang menegur kelantangannya - bertindak begitu.
Ahmad Fauzi berkata tindak-tanduk Akmal boleh dianggap melampau, jsuteru wajar dibendung oleh kerajaan kerana isu tersebut boleh saja diselesaikan mengikut lunas undang-undang.
Mengambil contoh isu sekolah vernakular yang diputuskan mahkamah sebagai berperlembagaan, kemelut stoking itu juga boleh ditangani dengan lebih baik melalui peraturan sedia ada.
“Bukankah pihak berkuasa sudah siasat dan ambil tindakan, jadi dia ni nak apa lagi?” katanya.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Azmil Tayeb, berpendapat aksi 'heroik bangsa' daripada Akmal ini tidak akan memberi nilai tambah kepada kerajaan.
Berbanding dianggap boleh menarik undi Melayu, Azmil berkata, kelakuan Akmal bahkan berpotensi mengurangkan undi penyokong PH.
“Tindakan ini berpotensi untuk mengurangkan sokongan pengundi PH yang merasakan PH tidak perlu berkerjasama dengan Umno lagi kerana provokasi-provokasi yang dilakukan itu,” katanya.
Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Mohd Azmir Mohd Nizah, berkata apa yang dilakukan Akmal memang sesuai dengan sifat Umno yang berpaksikan perjuangan bangsa Melayu.
“Secara umumnya Akmal hanya ingin menunjukkan semangat Umno dia,” katanya.
Mohd Azmir menambah mesej Akmal juga diyakini tidak akan memberi ancaman kepada hubungan antara parti dalam kerajaan kerana ia hanyalah suara Umno yang ingin menarik kembali sokongan orang Melayu.
“MCA dan Gerakan banyak kali menyuarakan hak kaum bukan Melayu dengan tegas demi menarik sokongan pengundi mereka.
"Kita lihat satu ketika dahulu hubungan BN yang diketuai Umno tetap sangat utuh.
"Kini PN juga begitu, konflik di antara Gerakan dengan PAS tidaklah sampai ke tahap mampu meruntuhkan pakatan itu,” katanya.
Azmir menambah mesej Akmal adalah jelas iaitu sokongan kepada usaha reformasi kerajaan jangan sampai boleh menggugat kedudukan Islam dan hak istimewa orang Melayu.