Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi berkata ia kini sedang meneliti pengasingan kuasa antara peguam negara (AG) dan pendakwa raya.
“Kita ada lagi sekurang-kurangnya dua sesi, di mana antaranya kita telah jemput Peguam Negara, yang bekas dan sedang ada, untuk memberikan maklumat selanjutnya tentang perkara ini.
"Masih berjalan," kata pengerusi jawatankuasa itu, William Leong Jee Keen pada sidang media di Parlimen petang ini.
September lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk memisahkan peranan dan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya tetapi menegaskan bahawa ia perlu dilakukan dengan teliti.
Tambahnya, perkara itu telah dirujuk kepada jawatankuasa pilihan parlimen.
Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mengumumkan penubuhan dua pasukan petugas khas untuk mempercepatkan perkara itu.
Satu pasukan petugas akan diamanahkan untuk membuat kajian perbandingan manakala satu lagi akan meneliti aspek teknikal.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat dijangka dibawa ke Parlimen pada persidangan akhir tahun oleh Azalina.
“Kalau ikut anggaran, sepatutnya pada Oktober atau November tahun ini,” katanya.
Tambahnya, jika akta itu diluluskan, ia akan menjadi satu kejayaan besar untuk reformasi institusi.
Pada bulan September, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa Jawatankuasa Kabinet Khas mengenai Tadbir Urus Negara telah bersetuju pada dasarnya untuk menggubal Akta Kebebasan Maklumat.
Menurut PMO, ini termasuk mewujudkan "parameter dan garis panduan yang jelas" untuk orang ramai mengakses maklumat daripada kerajaan dan agensi awam.
Ia juga termasuk pindaan Akta Rahsia Rasmi 1972.
PMP berkata langkah itu akan membolehkan penambahbaikan perkhidmatan awam dan menggalakkan penyertaan orang ramai dalam proses merangka dasar negara.