Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi mengesyorkan semua pegawai imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur memakai kamera badan.

Ahli jawatankuasa itu Khoo Poay Tiong juga mencadangkan agar pegawai imigresen bertukar syif setiap tiga atau enam bulan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

"Kita ada buat beberapa cadangan untuk menambah baik supaya perkara tersebut tak akan berlaku lagi. Salah satu daripadanya ialah kita cadang kepada Jabatan Imigresen Malaysia supaya tukarkan pegawai mereka setiap tiga ataupun enam bulan untuk kita lebih telus dan juga akauntabiliti. Itu salah satu cadangan kita.

"Kita juga minta supaya semua pegawai imigresen di KLIA yang berhubung terus dengan pelancong ataupun mereka yang masuk ke Malaysia memakan kamera badan untuk elakkan semua perkara-perkara ini," kata Ahli Parlimen Kota Melaka itu semasa sidang media di Parlimen hari ini.

Dia merujuk kepada penglibatan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing dalam kekecohan di Terminal 1 KLIA tahun lepas.

Tiong kemudian menjelaskan bahawa dia membela seorang warga China yang ditahan tanpa sebarang sebab.

Dakwanya, beberapa pegawai imigresen meminta rasuah sehingga RM3,000 daripada pelancong yang ditahan untuk dibebaskan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.

Selepas itu, sumber yang rapat dengan kes itu mendedahkan bahawa pegawai SPRM merekodkan kenyataan daripada Tiong dan pelancong berkenaan. Penyiasat mendapati seorang individu meminta lebih RM15,000 untuk membantu wanita itu melepasi pemeriksaan imigresen.

Sementara itu, pengerusi JKPK itu, William Leong Jee Keen berkata, cadangan telah dibuat untuk Jabatan Imigresen mengemas kini cara ia berurusan dengan mereka yang datang ke Malaysia kerana perubahan pola perjalanan.

Kata Ahli Parlimen Selayang itu, pegawai mestilah lebih fleksibel dan tidak perlu menyemak tiket pergi balik fizikal, jumlah tunai yang mencukupi, atau alamat hotel berikutan peningkatan penggunaan tiket digital, e-dompet dan kad kredit serta unit AirBnb yang terletak di kawasan perumahan.

Jawatankuasa itu juga mengesyorkan pegawai imigresen tidak merampas telefon daripada mereka yang ditahan.

Selain itu, dia berkata jawatankuasa itu telah bertemu dengan Human Rights Watch (HRW) berhubung syarat dan layanan terhadap pendatang tanpa izin di Malaysia selaras dengan undang-undang Malaysia.

Katanya, jawatankuasa itu telah mendengar laporan tahunan HRW mengenai perkara itu.

Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen turut hadir pada mesyuarat itu, tambahnya.

Bagaimanapun, dia tidak memberi perincian lanjut.

Awal bulan ini, HRW mengeluarkan laporan yang mendakwa bahawa layanan buruk dan rawatan perubatan yang tidak mencukupi telah menyebabkan ratusan kematian di pusat tahanan imigresen.

Laporan itu, bertajuk “We Can't See The Sun, Malaysia’s Arbitrary Detention of Migrants and Refugees” memperincikan cara pegawai melaksanakan hukuman atas kesalahan bising, merokok, bertanya soalan atau membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan, bercakap dengan blok bersebelahan, bergaduh atau kerana mempunyai telefon bimbit atau lain-lain.

Menurut laporan itu, 1,467 kanak-kanak telah ditahan di 20 pusat tahanan imigresen di seluruh Malaysia setakat September 2023.

Tetapi Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kemudian mendakwa bahawa HRW tidak dapat memberikan bukti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS