Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelantan tiada masalah pengambilan tanah untuk ECRL di Rantau Panjang

Kerajaan Kelantan tidak mempunyai sebarang masalah pengambilan tanah jika cadangan pelanjutan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambung sehingga Rantau Panjang dipersetujui kerajaan persekutuan, kata Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Nassuruddin berkata projek ECRL mampu memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara dan Kelantan akan memberi kerjasama penuh bagi tujuan itu.

"Kalau cadangan itu dipersetujui, dari segi pengambilan tanah kerajaan negeri tiada masalah langsung, kita akan bagi kerjasama sepenuhnya, malah Kelantan antara negeri paling cepat di Malaysia (melaksanakan) projek ECRL.

"Kita berharap perkara ini mendapat perhatian kerajaan persekutuan memandangkan Kelantan bersempadan dengan Thailand dan projek ini akan turut dimanfaatkan mereka sekali gus akan menguntungkan negara," katanya ringkas kepada pemberita pada Program Iftar Mahabbah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri di Kota Bharu semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berharap projek ECRL dapat disambung sehingga Rantau Panjang.

Baginda bertitah ia bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi antara sempadan selain mampu mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Pada Isnin lepas, CEO Malaysia Rail Link Sdn Bhd Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata ECRL telah mencapai kemajuan sebanyak 62.40 peratus bagi keseluruhan jajaran ECRL yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, setakat bulan lepas.

Projek ECRL sepanjang 665km yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM50.27 bilion itu akan menghubungkan Kota Bharu dengan Terminal Bersepadu Gombak yang hanya mengambil masa empat jam berbanding tujuh jam dengan menggunakan jalan raya atau lebih 12 jam semasa musim perayaan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS