Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang Asli mahu jumpa PM isu Empangan Hidroelektrik Nenggiri

Dengan projek empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang telah bermula, Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) berhasrat bertemu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meminta projek itu dihentikan segera.

Pengerusi Tanah Adat JKOAK Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah berkata selain bertemu dengan Anwar, mereka bercadang untuk membuat laporan kepada SPRM dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya projek itu diteruskan.

“Pada masa ini, projek itu sudah 40 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2026,” katanya dalam sidang media di pejabat Suaram, di Petaling Jaya hari ini.

Pada Februari, Malaysiakini melaporkan bahawa 3,000 Orang Asli di Gua Musang berikrar untuk meneruskan perjuangan mereka menentang projek itu kerana ia akan membawa kepada kemusnahan sumber pendapatan, budaya dan warisan mereka.

Mempersoalkan jika terdapat unsur penyalahgunaan kuasa dalam projek itu, Nur Mohd dari Pos Simpor berkata, kerajaan perpaduan perlu memandang serius perkara ini dan menjalankan siasatan segera berhubung kelulusan projek itu.

Dia berkata ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Pengerusi JKOAK Mustafa Along sebelum ini berkata terdapat ratusan penempatan merentasi lapan zon - Wias, Pasik, Gob, Simpor, Tohor, Bihai, Angkek, dan Depak - terletak di sepanjang Sungai Nenggiri.

Daripada lapan zon ini, hanya tiga kampung - Pos Pulat, Pos Tohoi, dan Kampung Kuala Wias dijangka ditenggelami air sebaik sahaja empangan itu beroperasi sepenuhnya.

1,200 daripada penduduk kampung ini telah dijanjikan perumahan di kampung baru sebagai pampasan.

Bagaimanapun, ramai penduduk kampung Orang Asli tidak percaya dan mendakwa lebih banyak lagi, termasuk tanah ladang dan tanah adat mereka akan terjejas.

Memandangkan projek mega itu melibatkan berbilion ringgit, Nur Mohd mempersoalkan adakah terdapat alternatif lain untuk menangani masalah banjir di Kelantan tanpa memusnahkan warisan, budaya dan juga alam sekitar Orang Asli.

“Kami menggesa ahli parlimen untuk bercakap mengenai perkara ini di parlimen.

“Adakah berbaloi untuk membelanjakan berbilion-bilion untuk projek yang tidak berdaya maju seperti ini?" soalnya.

Tambahnya, hutan dan alam adalah segala-galanya bagi Orang Asli, dan memusnahkannya akan menyebabkan mereka hilang identiti.

“(Hutan) adalah pasar raya kami, klinik kami, bank kami, dan tempat kami mendidik anak-anak kami. Jika kami kehilangan tanah adat dan warisan, identiti kami juga akan hilang bersamanya,” tambahnya.

Pada 15 Feb lepas, walaupun mengakui projek itu akan memberi kesan kepada Orang Asli, Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim menyeru masyarakat untuk menyokong projek itu dan menjadi sebahagian daripada cadangan pembangunan kerana ia memberi impak besar kepada ekonomi dan masyarakat.

Pada Ogos tahun lepas, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad berkata walaupun kerajaan tidak lagi membina empangan hidroelektrik besar, empangan Nenggiri yang sudah diluluskan di luar bidang kuasanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS