KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Supermart) dilaporkan sudah memfailkan saman terhadap syarikat pembekal stoking tertera kalimah Allah, Xin Jian Chang Sdn Bhd (Xin Jian Chang), dan pengarahnya Soh Chin Huat.
Melalui tindakan undang-undang itu KK Supermart membuat tuntutan keseluruhan sekurang-kurangnya RM38 juta, termasuk melibatkan aspek kerosakan jenama dan pembatalan cadangan penyenaraian di Bursa Malaysia.
Menurut laporan Malay Mail, peguam rangkaian kedai serbaneka itu, David Gurupatham, mengesahkan anak saman sivil tersebut difailkan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.
Dalam tuntutan, KK Supermart memohon pengisytiharan mahkamah bahawa pembekal terbabit telah mengganggu perniagaan mereka secara tidak sah.
Mereka juga mahu mendapatkan perintah agar Xin Jian Chang dan Soh menanggung kerugian tersebut, selain menyerahkan kepada mahkamah menilai kerugian daripada purata pendapatan perniagaan sebanyak RM1.5 juta seminggu.
Tuntutan lain termasuk RM10.5 juta untuk kerosakan pada nama jenama dan nama baik syarikat kedai serbaneka itu di pasaran, dan RM20.3 juta disebabkan pembatalan cadangan penyenaraian di bursa saham.
KK Supermart juga menuntut ganti rugi teruk lain untuk dinilai oleh mahkamah, dan ganti rugi punitif dan teladan.
Dalam pernyataan tuntutannya, KK Supermart berkata, pada 5 Feb lalu Xin Jian Chang memohon untuk membekalkan penutup lengan dan ia dipersetujui secara konsainan.
KK Supermart mendakwa di sebalik terdapat keterangan bertulis mengenai penutup lengan itu bersama kod barnya, mereka tidak pernah memberi kebenaran untuk konsainan dengan kod bar itu digunakan untuk paparan atau penjualan stokin kontroversi.
Syarikat itu juga mendakwa Xin Jian Chang telah meletakkan stoking sedemikian tanpa pengetahuan kedai mereka di cawangan Bandar Sunway.