Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan lelaki disyaki buat khianat pada kereta Adun Indera Kayangan

Polis menahan seorang mekanik motosikal dipercayai melakukan perbuatan khianat terhadap dua kereta milik Adun Indera Kayangan Gan Ay Ling sehingga mengalami keretakan cermin hadapan dan kemek fender hadapan kereta itu hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata lelaki berusia 36 tahun itu yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor ditahan di tempat kerjanya di sebuah bengkel motosikal di Kangar kira-kira jam empat petang tadi.

“Motif masih dalam siasatan. Polis turut merampas satu bata berwarna merah dipercayai digunakan suspek dalam kejadian ini, sebuah motosikal Honda Wave warna merah, sebuah helmet berwarna putih dan satu bingkai gambar berwarna merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai kejadian khianat itu, Yusharifuddin berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada Adun berkenaan pada jam 9.22 pagi tadi setelah keretanya jenis Nissan Grand Livina retak pada cermin sebelah kiri pemandu manakala sebuah lagi kereta jenis Toyota Altis kemik pada bahagian fender sebelah kanan pemandu.

Dalam pada itu, Gan yang juga timbalan pengerusi PKR Perlis memberitahu media bahawa kejadian berlaku pada jam 2.40 pagi ketika dia berada di rumah dan terdengar bunyi hempasan pada kereta yang diletakkan di parkir halaman rumahnya.

Sebelum keluar dari rumahnya untuk melakukan pemeriksaan, katanya, dia terdengar bunyi motosikal tergesa-gesa meninggalkan kawasan itu.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS