Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah RM6.9 juta: Pegawai SPRM buka aduan terhadap Wan Saiful

Seorang pegawai SPRM memberitahu dia membuat laporan terhadap bekas ketua penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta daripada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan projek Central Spine Road bernilai RM232 juta.

Khusyaini Adhillah Mat Aripin memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur petang ini bahawa dia membuat laporan itu selepas menerima maklumat berhubung dakwaan itu pada 27 Jan tahun lepas.

Semasa perbicaraan hari pertama kes pengubahan wang haram dan rasuah berkaitan projek Jana Wibawa terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, Khusyaini memberi memberitahu maklumat itu diterima berdasarkan laporan SPRM sebelum ini.

Saksi pendakwaan itu berkata berdasarkan maklumat pada 2022 itu, Wan Saiful selaku ketua penerangan Bersatu ketika itu telah meminta dan menerima RM6.9 juta daripada Nepturis Sdn Bhd, supaya syarikat itu boleh mendapatkan projek infrastruktur itu.

“Berdasarkan kepada maklumat tersebut, saya telah membuka satu borang aduan SPRM pada hari yang sama (27 Jan 2023) sekitar jam 10.18 malam,” kata Khusyaini kepada hakim perbicaraan Rozina Ayob.

Saksi itu menambah, sebelum membuat laporan SPRM, dia telah berbincang dengan Penolong Pesuruhjaya SPRM Mazery Mohd Zaini mengenai pembukaan laporan berkenaan.

Dia berkata selepas membuat laporan, dia telah memberikan salinan kepada Unit Rekod Sektor Awam untuk rekod dan supaya pegawai SPRM lain menjalankan siasatan.

Bagaimanapun semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Wan Saiful, Amer Hamzah Arshad, Khusyaini berkata dia tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan penggunaan kata 'bantu' berkaitan firma itu untuk mendapatkan projek itu.

Apabila Amer mencadangkan bahawa perkataan 'bantu' adalah makna yang terlalu umum, dia tidak bersetuju.

Bagaimanapun, apabila peguambela menyiasatnya tentang maksud khusus 'bantu' dalam konteks dakwaan terhadap Wan Saiful, dia berkata tidak tahu.

Ketika Amer bertanya siapa yang memintanya membuat laporan dan dari mana dia menerima maklumat mengenai dakwaan terhadap Wan Saiful, Khusyaini berkata dia tidak tahu.

Tambahnya, dia tidak berjumpa Wan Saiful untuk mengambil keterangan sebelum membuat aduan kepada SPRM.

Bagaimanapun, dia tidak bersetuju dengan dakwaan Amer bahawa dia membuat laporan SPRM palsu atau berniat jahat terhadap Wan Saiful.

Untuk rekod saksi itu hanya memberi keterangan mengenai laporan yang dibuat, manakala pegawai SPRM lain menjalankan siasatan sebenar terhadap tertuduh.

Pada penghujung prosiding hari ini, seorang anggota pasukan pendakwaan memaklumkan Rozina bahawa mereka akan memanggil saksi pendakwaan iaitu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang pernah memegang portfolio menteri kewangan antara Ogos 2021 dan Oktober 2022.

Wan Saiful sebelum ini memohon dibicarakan atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta.

Berhubung pertuduhan rasuah,ahli politik berusia 47 tahun itu didakwa meminta rasuah daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek 'Central Spine Road: Sertik to East Coast Highway Interchange' bernilai RM232 juta daripada kerajaan semasa peringkat prakelayakan.

Dia juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di Kuala Lumpur antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful juga didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindahkan dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya untuk membayar pembelian sebuah kereta jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang berkenaan ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Syarikat Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di Kuala Lumpur antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022.

Pertuduhan pengubahan wang haram dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Perbicaraan di hadapan Rozina disambung esok.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS