Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keselamatan, kerahsiaan maklumat Padu terjamin dari kebocoran
Diterbitkan:  Mar 24, 2024 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Keselamatan dan kerahsiaan maklumat dalam Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) adalah terjamin daripada kebocoran hingga kini, yang diselenggara sepenuhnya oleh agensi Jabatan Digital Negara (JDN) iaitu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini, Padu melalui Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Siber Sektor Awam (CSIRT) bersiap siaga mengendalikan melalui prosedur yang ditetapkan.

“Saya menyeru semua mengambil peluang untuk membuat pengemaskinian Padu dan tidak menunggu saat akhir. Maklumat Padu ini akan membantu kerajaan membuat perancangan program masa hadapan,” katanya dalam kenyataan media pada lawatannya ke kaunter Padu di Masjid Al Masyhoor Padang Siding di Arau semalam .

Sementara itu, Mohd Uzir memaklumkan secara kumulatif sebanyak 1,006 kaunter fizikal Padu telah dibuka di Perlis termasuk program bersama komuniti serta Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dari 2 Jan lepas hingga semalam.

“Selain itu, ada juga pembukaan kaunter bergerak di 101 masjid di negeri ini terutamanya pada setiap Jumaat,” katanya yang turut memberitahu pendaftaran Padu di Perlis meningkat kepada 0.08 juta orang setakat kelmarin.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS