Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco Pemuda Umno: Hujah guru Pasti adalah sukarelawan bahaya
Diterbitkan:  Mar 23, 2024 3:27 PM
Dikemaskini: 1:07 PM

Seorang exco Pemuda Umno Malaysia mengecam kenyataan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, bahawa Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) milik parti itu bukanlah tadika, manakala guru-gurunya adalah sukarelawan.

Fadzmel Fadzil juga menyifatkan kenyataan Afnan Hamimi itu sebagai bahaya dan seperti mempermainkan undang-undang.

“Jika guru hanya sukarelawan, adakah bermakna pertubuhan-pertubuhan lain boleh membayar gaji pekerja mereka tanpa mengikut akta atas sebab mereka ini pun (dianggap) sukarelawan?

“Bukankah ini mempermainkan undang-undang yang dipersetujui bersama?" soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Afnan Hamimi mempersoalkan tindakan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menyiasat Pasti berhubung isu gaji guru-gurunya.

Turut menjadi perhatian adalah Sekolah Rendah Teras Islam (Sriti) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (Smiti).

Langkah itu dikatakan bagi menentukan status pekerjaan guru dan kakitangan di institusi pendidikan yang dipayungi PAS.

Institut-institut terbabit tidak didaftarkan secara sah sebagai sekolah, taman asuhan kanak-kanak, atau tadika.

Mempertikaikan tindakan terhadap institusi itu selepas 40 tahun kewujudannya, Afnan Hamimi antara lain berkata, guru Pasti adalah sukarelawan dan bukannya pekerja, serta menerima pampasan.

Mengulas lanjut, Fadzmel menyanggah hujah bahawa guru di Pasti adalah sukarelawan parti, dengan mendakwa ada bukti surat rasmi, termasuk surat penamatan kerja, yang merujuk mereka sebagai guru.

“Jadi, sejauh mana pimpinan PAS mahu berbohong demi melindungi kepentingan mereka yang menindas kebajikan guru dengan berselindung di sebalik agama,” dakwanya lagi.

Justeru, Fadzmel menggesa PAS bersikap adil terhadap guru-gurunya dan melihat isu tersebut dari sudut kemanusiaan, bukan politik.

"PAS perlu mencari dana tidak kira sama ada sumbangan ahli dan pemimpin parti atau melalui syarikat dimiliki penyokongnya untuk sekurang-kurang guru-guru ini dapat gaji bulanan melebihi paras gaji minimum.

“Isu utama ialah mempertahankan hak pekerja dan masa depan murid Pasti. Afnan jangan mencipta pelbagai alasan demi menutup kepincangan pengurusan Pasti di bawah Pemuda PAS pimpinan anda,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS