Lawyers for Liberty (LFL) hari ini membangkitkan persoalan mengapa orang berjawatan dibiarkan tanpa tindakan sedangkan individu biasa dan tidak dikenali dihukum penjara atas komennya mengenai isu stoking.
Dalam kenyataannya, pengarah kumpulan hak asasi manusia manusia itu Zaid Malek merujuk kepada hukuman penjara dan denda yang dikenakan ke atas Chiok Wai Loong dan Ricky Shane Cagampang mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998 kerana membat hantaran Facebook yang menyinggung perasaan.
"Pertama, hukuman penjara enam bulan adalah keterlaluan bagi pesalah kali pertama. Mahkamah mesti memutuskan kes berdasarkan fakta, dan mengabaikan publisiti yang menyelubungi kes tersebut.
“Mahkamah tinggi diharap campur tangan melalui bidang kuasa semakannya untuk mengetepikan hukuman yang berlebihan itu,” kata Zaid.
Dia seterusnya kecewa apabila Chiok tidak diwakili peguam semasa dibicarakan dan mempersoalkan sama ada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan atau Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam dimaklumkan situasi tertuduh.
Turut menjadi perhatian dan kecaman LFL ialah kebocoran butiran peribadi Chiok di dalam talian yang menyebabkan sekumpulan orang menjejak dan menakut-nakutkannya supaya membuat pengakuan.
“Sementara Chiok ditangkap, didakwa serta dipenjarakan dengan pantas, apakah tindakan yang diambil terhadap kumpulan terbabit kerana bertindak mengikut undang-undang sendiri dan berpotensi melakukan kesalahan?" katanya.
Zaid berkata tindakan kumpulan terbabit boleh dianggap melakukan kesalahan mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan (melakukan ugutan jenayah), seksyen 505(b) (menyebar berita palsu) dan Seksyen 233 Akta SKMM.
Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan merangkumi sebaran berita palsu secara bertulis atau lisan, manakala Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia membabitkan kes sebaran dalam talian.
"Mengapa polis begitu cepat bertindak terhadap Chiok, tetapi tidak mengambil tindakan terhadap kumpulan yang mengganggu itu?" katanya.
Pada masa sama Zaid mengecam sikap pihak berkuasa kerana dilihat kurang berminat mengambil tindakan ke atas orang politik yang dianggap menghasut, meresahkan, dan memanaskan isu tersebut.
Katanya ahli-ahli politik - khususnya dari Umno - membingkaikan isu tersebut untuk difahami oleh orang ramai sebagai munasabah menyalahkan sepenuhnya rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart.
“Ini membawa kepada kempen ‘samseng’ yang aktif terhadap sesiapa sahaja yang membuat komen mengenai isu itu, yang mungkin dianggap tidak sensitif oleh kumpulan terbabit,” katanya.