Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu stoking: Polis cadang pendakwaan jenayah pada KK Mart, pembekal

Polis telah melengkapkan siasatan berhubung penjualan stoking dengan tulisan "Allah" di sebuah cawangan KK Mart di Bandar Sunway, Selangor baru-baru ini.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain, pegawai telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dan sedang menunggu arahan seterusnya.

Bercakap pada sidang media pagi ini, Mohd Shuhaily berkata polis mencadangkan kedua-dua KK Mart dan syarikat pembekal, Xin Jiang Chang Sdn Bhd dihadapkan dengan pertuduhan jenayah berhubung insiden itu.

"Kedua-duanya. KK Mart dan kilang," kata Shuhaily ketika ditanya jika pertuduhan akan dikenakan terhadap KK Mart mahupun kilang di Johor yang membekal stoking tersebut.

Polis telah merakam keterangan 174 individu bagi melengkapkan siasatan.

Menurut Shuhaily, antaranya adalah kakitangan KK Mart, daripada pekerja di ibu pejabat, pembantu di cawangan serta pemandu lori.

"Kita perhalusi proses perolehan, ada kawalan mutu (atau tidak). Siasatan berasaskan proses dan fakta, kemudian kita ajukan kepada pihak pendakwaan," katanya.

Shuhaily berkata ketika siasatan, polis mendapati 14 pasang stoking yang memaparkan kalimah Allah, yang dipulangkan cawangan KK Mart kepada pembekal.

'Jangan pakai'

Ditanya jika ada banyak lagi stoking itu di luar sana, dia berkata tiada petanda seumpama itu setakat ini.

Pada masa sama, Shuhaily berkata mana-mana individu yang sudah membeli stoking tersebut perlu menyerahkannnya kepada polis untuk membantu siasatan.

"Saya syor jangan guna. Walau dia bukan beragama Islam, jika dipakai (boleh) menimbulkan lagi amarah umat Islam.

"Siapa yang sudah terbeli, elok serahkan kepada polis dan beritahu (beli di) kedai mana.

"Kalau ada yang terbeli di kedai lain, tolong datang buat laporan. Jangan tangkap gambar dan tularkan (di media sosial). Ia sangat tidak bertanggungjawab," katanya lagi.

Kontroversi tercetus minggu lalu apabila gambar stoking yang tertera perkataan ‘Allah’ dijual di kedai serbaneka KK Mart Bandar Sunway, dan tular di media sosial.

Susulan kekecohan itu, KK Mart mengeluarkan permohonan maaf kepada semua pelanggannya, khususnya masyarakat Islam, dan mengesahkan bahawa tindakan segera telah diambil untuk menghentikan penjualan stoking berkenaan.

Ini termasuk menamatkan kontraknya dengan Xin Jian Chang Sdn Bhd, sebuah syarikat pembekal yang berpangkalan di Batu Pahat, Johor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS