Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KM Melaka pertahan Akmal lantang isu stoking kalimah Allah
Diterbitkan:  Mar 22, 2024 10:44 AM
Dikemaskini: 2:44 AM

Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh mempertahankan pendirian lantang Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berkenaan penjualan stoking tertera tulisan ‘Allah’.

Rauf berkata reaksi Akmal, yang juga Exco Melaka dan Adun Merlimau, memiliki asas dan mewakili suara umat Islam di Malaysia yang terguris hati ekoran isu tersebut.

"Sebenarnya isu kalimah Allah yang diletakkan di stoking ini memang mengguris hati rakyat Malaysia yang beragama Islam kerana kita seharusnya menghormati hak agama masing-masing.

“Kelantangan Dr Akmal ini mewakili orang Melayu (dalam) menyuarakan suara hati orang Islam yang terguris dalam kebiadaban syarikat yang mencetak dan menjual (stoking kalimah Allah) yang mana soal politik tidak mengubah pendirian kita tentang agama,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Akmal Saleh

Rauf berkata isu tersebut seharusnya diselesaikan secara pragmatik dan semua pihak perlu memastikan ia tidak berulang.

"Seharusnya perkara ini tidak berlaku di negara kita kerana kita telah bersepakat dalam konteks sosial untuk saling menghormati yang mana kesedaran ini harus dipertingkatkan.

“(Apabila) kalimah Allah ini tidak diletakkan di tempat yang betul memang ianya menyinggung hati orang Islam kerana soal agama ini amat sensitif,” katanya lagi.

Akmal menjadi antar ahli politik yang lantang bersuara dalam isu ini, antaranya menggesa orang ramai memboikot KK Mart jika rangkaian kedai serbaneka tersebut tidak mengangkat kain rentang permohonan maaf.

Dia juga sebelum ini menggesa orang ramai untuk membuat laporan polis.

Kontroversi tercetus minggu lalu apabila gambar stoking yang tertera perkataan ‘Allah’ dijual di kedai serbaneka KK Mart Bandar Sunway, dan tular di media sosial.

Susulan kekecohan itu, KK Mart mengeluarkan permohonan maaf kepada semua pelanggannya, khususnya masyarakat Islam, dan mengesahkan bahawa tindakan segera telah diambil untuk menghentikan penjualan stoking berkenaan.

Ini termasuk menamatkan kontraknya dengan Xin Jian Chang Sdn Bhd, sebuah syarikat pembekal yang berpangkalan di Batu Pahat, Johor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS