Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kempen siswa ajak boikot MP takkan pergi jauh, kata penganalisis

Ilham Centre melihat kempen Sekretariat Mahasiswa Tolak Pindaan Regresif mengajak masyarakat menolak ahli parlimen yang menyokong pindaan perlembagaan membabitkan kewarganegaraan hanya akan menjadi gerakan “syok sendiri”.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata ia akan menjadi lebih jelas jika tiada pendekatan konsisten dan penjelasan yang baik berkenaan masalah pindaan kewarnegaraan dibuat mereka.

“Isu ini secara relatifnya gagal difahami dengan meluas (oleh orang ramai).

"Andai mereka (gerakan mahasiswa) agresif dan melibatkan siri-siri penerangan, membina kandungan di media sosial, mungkin isu ini sedikit menggoncang pemerintah.

“Jika kekal dengan rentak sekarang ini, gerakan mereka tidak akan ada impak besar sehingga mampu menggerunkan penguasa yang sudah lupa janji reformasi mereka,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Hisommudin menjelaskan masalah pindaan berkaitan kewarganegaraan yang akan dibentang oleh Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, kurang difahami oleh kebanyakan rakyat biasa khususnya Melayu.

Hisommudin Bakar

“Hanya kelompok gerakan sivil sahaja yang mentafsirkan penggubalan undang-undang kewarganegaraan itu sebagai satu tindakan yang tidak wajar kerana menutup hak anak terdampar untuk menjadi warganegara, sekali gus menutup isu anak tanpa negara.

“Isu ini bukan keutamaan bagi masyarakat terbanyak yang lebih tertumpu dalam pergelutan isu politik perut pada Ramadan, serta sedang bersiap menghadapi hari raya.

"Isu ini (kewarganegaraan) lebih menarik segmen tertentu yang minoriti sahaja,” katanya.

Hisommudin turut berpendapat idea yang dibawa kumpulan mahasiswa terbabit hanyalah satu percubaan mereka untuk memastikan gerakan berkenaan dilihat relevan.

“Pemilihan isu itu dilakukan secara terpilih. Ia bukan kerana isu tersebut benar-benar menggoncang idealisme perjuangan siswa sekarang tetapi lebih kepada isu yang mereka pilih untuk dijadikan lonjakan suara mereka.

“Saya melihat mereka ingin turut serta dalam gerakan sivil yang kini kian lantang mengkritik kerajaan (selepas) melihat Bersih, Lawyers for Liberty, Majlis Peguam Malaysia menjadi suara pendesak kuat.

"Mungkin mereka ingin turut serta dalam gerakan sebegini,” tegasnya.

Belum sedia terima

Kata Hisommudin lagi tanpa pendekatan yang konsisten dan memberikan penjelasan yang baik, usaha kumpulan terbabit hanya terhad dalam lingkungan mereka saja.

"Mereka akan gagal menembusi segmen yang lebih luas. Pendek kata, masih syok sendiri," katanya.

Semalam Sekretariat Mahasiswa Tolak Pindaan Regresif mengumumkan mereka bakal mengadakan himpunan aman di pekarangan parlimen pada 25 Mac ini untuk mendesak ahli parlimen agar tidak menyokong usul pindaan perlembagaan berkaitan kewarganegaraan.

Kumpulan itu termasuk Angkatan Mahasiswa, Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa, Suara Mahasiwa Universiti Malaysia Sabah, Mahasiswa Keadilan (PKR) dan Umnosiswa bersama badan NGO sivil.

Antara isu yang menjadi perhatian ialah mengenai hak seseorang bayi terdampar yang sepatutnya mendapat kewarganegaraan secara automatik, tetapi dicadangkan kuasa memberikan hak tersebut diberi kepada budi bicara menteri.

Anis Sina

Sementara itu, penganalisis dari firma bebas O2, Anis Sina, pula melihat kempen itu sesekali tidak akan memberi kebimbangan kepada ahli parlimen untuk menyokong usul dibawa Saifuddin kerana ia tidak mendapat perhatian serius majoriti masyarakat.

Katanya ia dijangka hanya memberi kesan yang signifikan kepada golongan yang benar-benar terkesan dengan pindaan tersebut.

“Dalam keadaan fabrik sosial Malaysia yang semakin menegang, sebahagian besar masyarakat tidak bersedia menerima kemasukan atau pertambahan warganegara secara mendadak,” katanya.

Pada masa sama Anis turut menegaskan, pembabitkan kumpulan mahasiswa dari sayap parti kerajaan menunjukkan ada rasa tidak puas hati mereka terhadap hala tuju Putrajaya, khususnya berhubung janji-janji reformasi PH.

Ahli akademik di Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa, Lau Zhe Wei, pula memuji penglibatan sayap mahasiswa dari parti kerajaan yang bersama-sama menolak usul pindaan regresif berkenaan.

Lau Zhe Wei

Bercakap kepada Malaysiakini, Lau berkata, kumpulan mahasiswa yang berkaitan dengan parti politik wajar menjadi penyemak imbang kepada polisi kerajaan.

Hal itu kerana, kata Lau, mereka tidak terikat dengan apa-apa jawatan di dalam parti dan berhak memberikan teguran atau menentang sebarang tindakan kerajaan yang merugikan rakyat.

“Hal ini berbeza dengan mereka yang mempunyai jawatan tinggi di dalam parti, harus menjaga penulisan dan perkataan mereka agar tidak membawa imej buruk kepada parti,” katanya.

Bagaimanapun Lau mempersoalkan sekretariat berkenaan kerana tidak melibatkan sayap mahasiswa dari PN.

“Sekiranya mereka ingin gerakan mereka memberi impak yang besar, harus dilibatkan sekali PN. Saya percaya dengan sokongan PN mobilisasi lebih hebat akan digiatkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS