Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nelayan sungai, penternak ikan dihimpit 'padang pasir'

Peralihan Monsun Timur Laut sejak awal bulan ini membawa cuaca panas dan kering menyaksikan kawasan Sungai Pahang berdekatan Kampung Pesagi, Maran berubah seperti 'padang pasir'.

Keadaan itu menimbulkan masalah kepada penduduk di sepanjang jajaran sungai berkenaan yang kebanyakannya mencari rezeki sebagai nelayan sungai dan menternak ikan sangkar.

Mohd Yusuf Mat Amin, 63, berkata ketiadaan air di alur sungai itu memaksa dia mudik ke hilir Sungai Pahang untuk menangkap ikan.

"Kejadian air kering di alur sungai ini sudah biasa berlaku, cuma setiap tahun ia makin teruk.

"Macam tahun lepas pun ada juga (berlaku), tapi antara Julai dan Ogos.

"Tahun ini awal lagi dah jadi begini, susah sikitlah untuk kami yang cari rezeki di sungai," katanya.

Mohd Yusuf Mat Amin

Dia memaklumkan terdapat kira-kira 40 penduduk di situ yang menjadi nelayan sungai dan kini berdepan kesukaran untuk mendapatkan hasil tangkapan.

"Masalah ni berlaku setiap tahun, sejak awal 2000 kalau tak silap saya, cuma belum nampak lagi usaha untuk cari jalan penyelesaian.

"Kalau boleh saya harap kerajaan Pahang korek pasir di sini, di bahagian sungai yang dah jadi beting pasir supaya bolehlah air sungai mengalir ke kawasan sebelah sini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Setafar Chek, 65, pula memberitahu alur sungai yang kering itu merangkumi kawasan seluas hampir tiga kilometer persegi dan mendakwa ramai pengusaha ikan sangkar mengalami kerugian puluhan ribu ringgit setiap kali fenomena itu berlaku.

Katanya, jajaran sungai berkenaan merentasi Kampung Pesagi, Kampung Sanding, Kampung Tanjung Berangan dan Kampung Sawah, menempatkan puluhan sangkar ikan patin dan tilapia diternak penduduk setempat.

Setafar Chek

"Minggu lepas ada pemilik sangkar menjual secara lelong ikan ternakan kerana tak sanggup menanggung kerugian.

"Sangkar mereka dah tersadai atas pasir, air semua dah kering, macam mana nak simpan ikan lagi?

"Daripada rugi baik dia jual murah-murah, kalau dibiarkan memang mati semua ikan sungai itu," katanya.

Dia juga bersetuju jika kerajaan Pahang mengambil pasir di kawasan berkenaan untuk tujuan mendalamkan semula alur sungai itu.

"Seberang (sungai) sana ada orang korek (lombong) pasir, jadi sebelah sana air tak kering macam di sini.

"Aktiviti itu juga secara tidak langsung mewujudkan lubuk ikan dan membantu kami nelayan sungai meningkatkan hasil tangkapan.

"Kalau sebelah sini pun boleh korek juga pasir, rasanya adalah air di alur sungai kampung kami," katanya.

Ditanya sama ada aktiviti melombong pasir di sungai bersebelahan menjadi punca alur sungai kering itu, Setafar menafikan fenomena berkenaan ada kaitan dengan aktiviti itu.

Katanya, kejadian alur sungai kering itu dipercayai berpunca cuaca panas melampau dan ketiadaan hujan untuk tempoh lama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS