Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasti jadi perhatian berhubung isu gaji, kebajikan
Diterbitkan:  Mar 20, 2024 9:50 PM
Dikemaskini: 1:50 PM

Pihak berkuasa dilaporkan memberi perhatian kepada rangkaian tadika dan sekolah PAS berhubung pertikaian gaji yang didakwa melibatkan guru-gurunya.

Menurut memo dari Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), semua cawangan pejabat itu telah ditugaskan untuk memeriksa Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), serta Sekolah Rendah Teras Islam (Sriti) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (Smiti).

Langkah itu dikatakan dibuat ini bagi menentukan status pekerjaan guru dan kakitangan di institusi pendidikan yang dipayungi PAS, atau lebih khusus sayap pemuda parti itu.

Institut-institut terbabit tidak didaftarkan secara sah sebagai sekolah, taman asuhan kanak-kanak, atau tadika.

Memo JTKSM menyatakan arahan pemeriksaan dibuat berdasarkan mesyuarat kabinet pada 8 Mac apabila guru dan kakitangan Pasti, Sriti, dan Smiti didakwa dibayar gaji di bawah garis minimum.

Dokumen tersebut dikongsi secara meluas di media sosial semalam oleh akaun media sosial yang bernama Hak Pasti.

Akaun tersebut berusaha membela hak-hak guru Pasti sejak 2020 dengan fokus utama diberikan kepada aspek pembayaran gaji.

Beberapa jam selepas memo dipaparkan di media sosial, MP Sri Gading, Aminolhuda Hassan, meminta Menteri Sumber Manusia Steven Sim untuk menjelaskan arahan tersebut di Parlimen.

Guru diizin tak hadir bertugas

Sim bagaimanapun tidak mengesahkan atau menafikan bahawa JTKSM sedang menyiasat kemudahan pendidikan diberikan PAS.

Sebaliknya, dia memberikan amaran bahawa pihaknya - Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) - akan mengambil tindakan jika hak pekerja tidak dipatuhi tanpa mengira latar belakang politik.

"Ia tidak penting parti politik mana, DAP atau PAS, semua mesti patuh kepada undang-undang.

"Kita (Kesuma) tidak akan berkompromi, tidak kira siapa anda, swasta atau kerajaan, parti politik atau tidak, Kesuma akan mengambil tindakan jika hak pekerja tidak dipatuhi.

"Jika anda tidak bersalah, jangan takut, kami (kementerian) akan membantu," kata Sim kepada Dewan Rakyat.

Dia memberikan jawapan yang sama apabila Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden bertanya mengapa Kesuma dan JTKSM menyiasat Pasti walaupun semua gurunya merupakan "sukarelawan".

Afnan Hamimi Taib Azamudden

Dalam sidang media di parlimen yang diadakan selepas persidangan, Ketua Pemuda PAS itu terus mempertikaian mengapa tindakan diambil terhadap Pasti selepas 40 tahun ia beroperasi.

Afnan Hamimi juga menjelaskan, walaupun guru Pasti adalah sukarelawan dan bukan pekerja, mereka menerima pampasan.

"Walaupun mereka mengajar secara sukarela kepada anak-anak ahli dan penyokong PAS, mereka diberikan elaun dalam bentuk wang untuk menampung kos makanan dan perjalanan mereka.

"Bayaran yang diberikan ditanggung oleh bahagian-bahagian dan cawangan PAS berdasarkan kemampuan mereka.

"Guru Pasti dibenarkan tidak hadir untuk tugas, dan cawangan PAS dimaklumkan untuk mencari ahli lain yang berkesempatan untuk mengambil tugas tersebut," katanya.

Selain itu, Afnan Hamimi berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso) telah memberi kelulusan kepada guru-guru Pasti untuk membuat sumbangan di bawah skim perlindungan pekerja individu pada 7 Mac.

Afnan juga menjelaskan Pasti juga bukan beroperasi demi meraih keuntungan.

"Pembayaran (untuk yuran) adalah minimum untuk menampung kos makanan, aktiviti kesejahteraan pelajar, dan aktiviti lain, termasuk sewa dan penyelenggaraan premis," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS