Paling Popular
Terkini

Cadangan secara berseloroh ahli parlimen DAP agar Khlir Mohd Nor (PN - Ketereh) menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi menyelesaikan masalah bekas tentera mencetuskan kemarahan dua ahli parlimen PN.

Berucap di Dewan Rakyat hari ini, RSN Rayer (Harapan - Jelutong) berkata Khairi sepatutnya menyokong Anwar supaya masalah yang melanda bekas tentera dapat diselesaikan dengan lebih mudah.

"Saya lihat isu veteran ni, saya sama-sama perjuangkan dengan Ketereh. Nak beristiqomah dan ada iltizam untuk selesaikan isu veteran. Tapi pemudah caranya senang - minta Ketereh isytiharkan sokongan terbuka kepada PM," katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Tambahan 2024 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Khlir ketika membahaskan rang undang-undang itu hari ini, membidas Kementerian Pertahanan kerana tidak memberi keutamaan pelarasan pencen untuk veteran tentera yang bersara sebelum ini 1 Jan 2013 – yang kini sudah tua dan sakit - apabila memberikan bantuan kewangan dan keperluan asas lain..

Sebagai respons kepada kenyataan Rayer, Khlir meminta Anwar membantu meringankan masalah veteran tentera terlebih dahulu sebelum bercakap tentang menukar sokongan.

"Macam nilah... saya nak tengok dulu. Sekarang dah 1 tahun 4 bulan (penubuhan kerajaan madani). Saya duk laung benda ni. Buat dulu baru kira macam mana. Buat dulu, bagitau PM buat dulu," katanya.

Jenaka Rayer itu tidak disenangi Shahidan Kassim (PN – Arau) dan Awang Hashim (PN – Pendang), yang menyebabkan kedua-dua mereka membangkitkan Perkara 36(12) Peraturan Mesyuarat.

Perkara 36 (12) menyatakan mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan dewan disifatkan menghina majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan berkenaan.

Shahidan menyelar Rayer dengan mengatakan ahli parlimen DAP itu mengelirukan Dewan sedangkan topik yang dibincangkan adalah mengenai veteran tentera.

Sementara itu, Awang mendakwa Rayer meminta ahli parlimen pembangkang terlibat dalam rasuah.

"Kami tak mahu terlibat rasuah. Nak bagi barang baru kami sokong. Sokong bagi barang, itu rasuah! Jadi sebagai penagamal undang-undang, jangan buat macam tu,” kata Awang.

Jumaat lalu, Khlir mendakwa kerajaan menawarkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) kepada ketua pembangkang, Hamzah Zainudin sebagai pertukaran untuk mendapatkan peruntukan bagi kawasan parlimen yang dikuasai PN.

“Sudah ada tawaran tandatangan untuk menyokong. Ada syarat-syaratnya. Kalau cakap macam itu (beri sahaja peruntukan) tidak mengapa, masalahnya ada syaratnya. Kalau syaratnya ketat bagaimana?” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Dia berkata ahli parlimen pembangkang tidak bercadang bertemu Timbalan Perdana Menteri Fadilah Yusof berkenaan peruntukan itu selagi kerajaan mengenakan syarat.

Khlir berkata kerajaan tidak sepatutnya memasukkan syarat khusus untuk ahli parlimen menerima peruntukan.

“Kalau pun kami mahu peruntukan ini, kami hanya akan pergi secara konsensus Perikatan Nasional (PN) dan bukan secara perseorangan,” katanya.

Setakat ini, enam ahli parlimen Bersatu telah mengumumkan sokongan mereka kepada Anwar dan kerajaan.

Keenam-enam mereka ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS