Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang ahli parlimen kerajaan menggesa penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat perjanjian penyelesaian 2020 antara kerajaan terdahulu dan Goldman Sachs berhubung pemulihan aset 1MDB.

Chong Zhemin (Pakatan Harapan-Kampar) mempersoalkan bagaimana perjanjian "sepihak" sedemikian boleh dicapai, membenarkan bank Wall Street membayar hanya AS$2.5 bilion daripada penyelesaian AS$3.9 bilion yang dipersetujui pada mulanya.

“Saya harap semua boleh terima kita tubuhkan satu RCI, kita siasat sepenuhnya bagaimana kita boleh tandatangani satu perjanjian yang begitu berat sebelah," katanya di Dewan Rakyat semasa sesi perbahasan perbekalan tambahan.

Mengulas lanjut, Chong menegaskan bahawa kekurangan kejelasan perjanjian itu membolehkan Goldman mengelak sepenuhnya daripada memenuhi jaminan AS$1.4 bilion yang telah diberikannya kepada Malaysia untuk mendapatkan semula aset 1MDB.

Dia menegaskan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion sepatutnya boleh diperoleh semula berdasarkan jumlah yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Pemimpin DAP itu juga menggesa agar bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang berkuasa ketika perjanjian itu ditandatangani, bertanggungjawab sepenuhnya melalui RCI yang dicadangkan.

Perjanjian Goldman kini sedang diteliti oleh pasukan petugas pemulihan aset 1MDB, diketuai oleh Johari Abdul Ghani - yang juga mengkritik perjanjian itu.

Sementara itu, Chong turut mengesyorkan meletakkan hadiah AS$1 juta kepada pembiaya buruan Jho Low bagi memudahkan penahanannya dan mendapat pendedahan penuh mengenai skandal 1MDB.

"Jika Osama bin Laden dapat dikesan selepas (hampir) sedekad, (mengapa kita tidak dapat mencari Jho Low?)"

“Jika kita dapat mencari Jho Low, saya rasa kita boleh mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam skandal 1MDB,” tambahnya.

Gesaan itu dibuat selepas parlimen dimaklumkan bahawa kerajaan telah membayar RM48.06 bilion untuk membayar hutang yang dikumpul oleh dana 1MDB, termasuk AS$3 bilion yang diselesaikan Mac lalu daripada Belanjawan 2023.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS